HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Februari 2008

‘Ramai mahu jadi calon’


PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, beliau menerima banyak panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan surat daripada ahli parti yang meminta dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata, tindakan mereka itu seolah-olah menganggap beliau boleh menentukan orang untuk menjadi calon sedangkan beliau sendiri tidak tahu tempatnya di mana dan sama ada dicalonkan atau tidak.

“Sebagai Setiausaha Agung BN, dalam saat-saat menghadapi pilihan raya, banyaklah saya dapat SMS, panggilan telefon, surat, untuk menjadi calon. Semua nak jadi calon, seolah-olah saya boleh menentukan orang untuk menjadi calon.

“Ini mengingatkan saya kepada cerita... oleh Setiausaha Politik saya mengenai jin dalam botol di mana seorang orang kampung terjumpa botol di dalam hutan dan apabila penutupnya tercabut, keluar jin.

“Orang kampung itu meminta daripada jin itu sebuah banglo besar tetapi jin itu kata macam mana nak bagi banglo besar sedangkan dia sendiri duduk dalam botol.

“Jadi, saya sebagai Setiausaha Agung pun tak tahu tempatnya di mana,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Sistem Penguat Kuasa Imigresen Mudah Alih (MIES), kaedah terpantas untuk menyemak dokumen warga asing.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Radzi berkata, hanya senarai calon yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN yang muktamad.

“Seperti PM kata semalam, senarai calon yang dikemukakan itu, bukan senarai yang muktamad. Beliaulah; beliau saja yang akan menentukannya, tunggulah.

“Jadi, orang lain tak usahlah cakap apa-apa. Sebab itu dari mula lagi, saya tidak pernah buat sebarang kenyataan. Saya selalu kata tunggu PM dan PM akan keluarkan senarai,” katanya.

Ditanya tentang perancangan beliau, Radzi berkata, beliau sebagai Setiausaha Agung BN tersenarai atau tidak, akan terus bekerja untuk menentukan BN menang sekurang-kurangnya dua pertiga dalam pilihan raya umum kali ini.

“Saya dah bekerja dua tahun membuat persediaan untuk pilihan raya ini, takkan tidak tersenarai sebagai calon, saya nak berhenti. Tidak sekali,” katanya.

Radzi berkata, beliau juga tidak akan berasa sedih jika tidak dipilih sebagai calon kerana sebagai orang politik, tiada siapa akan berada di tempat itu selama-lamanya.

“Beliau turut menasihati mereka yang mungkin tidak akan dipilih sebagai calon agar akur kepada keputusan pucuk pimpinan.

“Ini adalah politik, bila sudah tiba masanya awak kena berhenti, maka kena berhentilah. Bila tiba masa awak kena ambil alih tempat orang lain, orang yang kena ambil alih itu pula, janganlah bermasam muka. Tiap-tiap kali pilihan raya akan beginilah,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: