HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Februari 2008

Gara-gara batal duti setem, Rashid 'takut' jumpa calon PAS
Salmiyah Harun


PUTRAJAYA (Hrkh) - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman enggan berdepan dengan calon-calon PAS ketika menyerahkan memorandum bantahan berhubung pembatalan 'duti setem' tidak sampai 24 jam sebelum hari penamaan calon.

Dalam rombongan itu, Calon Parlimen Kuala Terengganu, Mohamad Sabu; Calon Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali; calon Parlimen Tanjung Karang, Hanipa Maidin dan calon Parlimen Putrajaya, Mohammad Nor Mohamad yang tiba di lobi SPR meminta Pegawai Perhubungan Awam (PR) SPR membawa mereka untuk bertemu dengan Abdul Rashid.

Bagaimanapun PR SPR Sabri Said memberitahu beliau hanya dibenarkan menerima memo bantahan daripada PAS di lobi sahaja.

Kata-kata Sabri itu, membuatkan Mohamad Sabu, Hanifa, Lo'Lo' tidak berpuas hati dan mendesak Sabri untuk memanggil Abdul Rashid turun bertemu mereka atau mereka bertemu Abdul Rashid.

Keadaan menjadi sedikit kecoh apabila Sabri terus menegaskan beliau menerima arahan untuk menerima memo di lobi sahaja selepas beliau menghubungi Rashid melalui telefon bimbitnya.

"Sila panggil dia turun, atau kami yang naik, apa..SPR ni..biadap, pilihan raya kali ini lebih teruk dan kotor daripada tahun 2004," kata Mohamad Sabu dengan nada marah.
"Tak ada, tak ada... kami nak jumpa dia sekarang! Telefon dia sekarang atau biar kami bercakap dengan dia," tegas Hanipa Maidin.

"Sekejap cakap nak duti setem, kejap cakap tak perlu duti setem, bila Umno tidak mampu buat duti setem, SPR terus batalkan arahan itu," tambah Hanipa yang mahukan penjelasan daripada Abdul Rashid sendiri berhubung perkara itu.

"Kalau dia tak mahu jumpa kami boleh kami bercakap dengan dia atau ada mana-mana 'line' telefon di sini boleh sambungkan kepada dia, kami nak bercakap dengan dia juga," celah Dr Lo' Lo'.

"Kenapa beliau tidak mahu jumpa dengan kami, atau SPR takut untuk berdepan dengan kami, kami nak jumpa orang yang mengeluarkan arahan kepada kita, dia (Rashid) yang keluarkan surat itu jadi dia berhak untuk memberi penjelasan," kata Dr Lo'Lo'.

Keadaan bertambah tegang, apabila Sabri memaklumkan kepada rombongan PAS mereka tidak akan menerima memo itu jika PAS berkeras untuk berjumpa dengan Abdul Rashid.

Bahkan Sabri turut mengarahkan beberapa pegawai keselamatan untuk menghalau rombongan PAS kira-kira 30 orang.

Atas sikap Pengerusi SPR yang enggan bertemu dengan PAS itu, Mohamad Sabu bertindak mengoyak kertas memo yang hendak disampaikan kepada Abdul Rashid di depan lobi kemudian melempar cebisan kertas itu di situ.

Sebelum ini, SPR mengarahkan calon yang bertanding mendapatkan pengesahan duti setem, arahan itu dikeluarkan pada jam 3 petang hari Khamis (21 Februari 2008).

Bagaimanapun, SPR juga membatalkan arahan tersebut pada tengah malam hari Sabtu iaitu beberapa jam sebelum penamaan calon.

Arahan tersebut tidak dimaklumkan kepada calon-calon pembangkang di kalangan PAS menyebabkan PAS membuat bantahan di lima kerusi Dun Marang dan Parlimen Titiwangsa kerana tidak mengetahui arahan memansuhkan 'duti setem' itu.

PAS terkejut bantahan mereka ditolak kerana 'duti setem' itu terus dimansuhkan melalui surat yang ditunjukkan oleh wakil SPR ketika penamaan calon di Marang. - mks

Tiada ulasan: