HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Februari 2008

BN tidak yakin mampu rampas Kelantan
Oleh Saidah Hairan


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tanpa rasa malu BN terus menggunakan media arus perdana untuk meracuni fikiran rakyat supaya terpengaruh dengan dakyah atau fitnah yang dilemparkan terhadap pimpinan PAS.

Bermula dengan pembubaran parlimen 13 Februari lalu, siaran TV khususnya RTM 1 dan 2 terus memainkan isu kemiskinan dan jenayah yang melanda rakyat Kelantan dan diulang tayang sehari lebih lima kali.

Mengulas tindakan dangkal BN itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman yakin dalam pilihan raya ke-12 mood rakyat akan berada dalam keadaan lebih baik jika dibandingkan dengan tahun 2004.

Ini kerana katanya, ketika pilihan raya 2004 rakyat memberi peluang kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disebabkan imej buruk mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Rakyat ketika itu melihat Abdullah sebagai `Mister Clean' tetapi dalam pilihan raya kali ini rakyat sudah tahu dan boleh menilai kewibawaan Abdullah sebagai Perdana Menteri," katanya.

Berhubung keangkuhan pimpinan BN yang mahu merampas Kelantan katanya, setiap kali pilihan raya BN mengggunakan pendekatan yang sama mahu merampas Kelantan dengan membuat propaganda buruk.

Katanya, cakap besar dan bersikap angkuh memang sudah sebati dengan pimpinan BN daripada zaman Tun Dr Mahathir, Tengku Razaligh Hamzah, Mustapha Mohamad hingga Dato' Anuar Musa.

PAS telah membuktikan kejayaan memerintah Kelantan selama 18 tahun walaupun mendapat tekanan daripada kerajaan Pusat, tegasnya.

"Insya-Allah jentera PAS akan mempertahankan Kelantan daripada jatuh ke tangan BN sebab kita percaya dengan ketentuan Allah dan kita telah buat yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata, beberapa orang pimpinan BN mengakui kesukaran dan tidak yakin boleh merampas Kelantan daripada PAS.

"Sampai bila pun pimpinan BN tidak akan mengakui kelemahan mereka dan sedar tentang kekuatan PAS walaupun tanpa bantuan media arus perdana," tegasnya.

Tiada ulasan: