HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Februari 2008

Rakyat terabai kerana majority Umno di parlimen besar


Petaling Jaya - Krisis ekonomi yang melanda Malaysia berpunca daripada rasuah melampau yang diamalkan oleh Umno dan kroni-kroninya, diperhebatkan lagi dengan birokrasi dan ketidakcekapan yang amat membebankan kelancaran operasi kerajaan, terangkan Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim.

“Dasar-dasar terpesong dan pelaksanaan yang lembab, ditambah lagi dengan pucuk pimpinan yang tidak beramanah, menjadikan daya saing Malaysia terus terjunam.
Malaysia yang sepatutnya setanding dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan sekarang kini telah jauh ketinggalan, sehingga pendapatan per kapita Malaysia cuma satu perlima berbanding dengan Singapura,” kata Anwar.

Anwar juga menegaskan bahawa KeADILan bukan sekadar mengkritik, bahkan sedia menerajui perubahan jika diberikan mandat untuk mentadbir. Dengan adanya pakar-pakar yang terbilang dari pelbagai latar belakang dan kumpulan etnik, keputusan yang diambil dan cadangan yang diketengahkan pasti dapat memuaskan segenap rakyat, seperti Agenda Ekonomi Baru yang bakal menggantikan Dasar Ekonomi Baru sekaligus menjadi konsep asas dasar ekonomi negara kelak.

Keangkuhan Umno yang makin hari makin serius disebabkan oleh majoriti terlalu besar yang dipegang parti itu, sehingga terabainya kepentingan rakyat termasuk dari segi keselamatan, ekonomi dan pembangunan, itulah mesej yang jelas dan padat daripada Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah.

“Dengan majoriti yang amat selesa iaitu menguasai 90% kerusi di Dewan Rakyat, politikus-politikus Umno tidak lagi mengambil berat tentang nasib rakyat, lebih-lebih lagi apabila mereka meraih keuntungan besar daripada projek-projek kerajaan, sedangkan rakyat ditenggelami pelbagai masalah termasuk inflasi, pengangguran, kadar jenayah tinggi dan sebagainya yang semuanya disebabkan oleh salah urus pemerintah,” kata Sivarasa.

Namun, Sivarasa berpendapat bahawa adalah amat kesuntukan masa sekarang untuk disenaraikan lagi dosa-dosa Umno, sebaliknya pemimpin dan jentera parti harus menerangkan seluas-luasnya apakah penyelesaian parti terhadap isu-isu tersebut, demi membolehkan pemilih membuat satu keputusan yang berteraskan maklumat tepat.

Mengenai kadar jenayah yang tinggi, Sivarasa yang juga Ketua Bahagian Petaling Jaya Selatan berkata, selain daripada menangani jenayah, pihak berkuasa juga harus menangani punca jenayah, memandangkan ramai remaja terlibat dalam jenayah kerana pengangguran. Oleh yang demikian, latihan kemahiran dan teknikal yang mencukupi serta kemudahan sukan dan perpustakaan di peringkat akar umbi amat perlu ditambah, demi mengelakkan golongan muda daripada terus terpinggir dari masyarakat sehingga terlibat dalam jenayah.

Forum “Masa Depan Politik Pelbagai Kaum di Malaysia” yang diadakan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 18 Februari menyaksikan kehadiran lebih 800 orang audien, dengan penyertaan yang menakjubkan daripada komuniti Tionghoa dan India, termasuk saksi kes pita Linggam, Loh Mui Fah dan anaknya Loh Gwo Burne.

Naib Ketua Wanita KeADILan, Haniza Talha menjanjikan suasana yang lebih bersesuaian untuk pembangunan masyarakat, termasuk keselamatan yang terjamin serta perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja percuma tetapi lebih memuaskan.

Persekitaran kerja yang lebih selesa untuk golongan wanita, seperti skim gaji yang sama rata berdasarkan merit dan jangka masa yang anjal mampu merealisasikan potensi wanita. Selain daripada itu, Haniza juga mencadangkan agar disediakan lebih kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk keluarga berpendapatan rendah, latihan kemahiran yang canggih untuk remaja mengikut kecenderungan masing-masing, serta pendidikan yang lebih peka gender, demi perkembangan masyarakat yang lebih sejahtera.

Kadar jenayah yang melampung tinggi memang menjadi fokus penduduk Petaling Jaya, memandangkan kedua-dua budak yang diculik, Nurin Jazlin dan Sharlinie, diculik di Taman Medan.

Setuju dengan pandangan Haniza, Sivarasa bertambah dalam sesi soal jawab, pengagihan tenaga dalam pasukan polis perlu disusun semula, agar kakitangan berlebihan dari cabang-cabang “Ketenteraman Awam”, “Cawangan Khas” dan Pentadbiran untuk menyertai pembanterasan jenayah, serta merapatkan lagi anggota polis dengan komuniti setempat agar gerak kerja anti-jenayah lebih berkesan.

Turut berucap ialah Pengerusi pro-tem All PJ Pro Action Committee (APPAC), Edward Lee yang menyertai DAP baru-baru ini. APPAC merupakan sebuah gabungan persatuan-persatuan penduduk di sekitar Petaling Jaya.

Antara isu-isu yang ditampilkan, beliau menitikberatkan pentingnya dipulihkan pilihanraya majlis tempatan. Ini membolehkan majlis perbandaran dan daerah mempertingkatkan ketelusan, sekaligus memberikan perkhidmatan yang lebih bermutu tinggi dalam menangani masalah-masalah tempatan, seperti kelulusan pembinaan, perancangan lalulintas, pemberian lesen perniagaan, perkhidmatan-perkhidmatan setempat dan sebagainya.

Tiada ulasan: