HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Februari 2008

Jangan pakai cat kuku, nasihat SPR pada pengundi



PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan para pengundi supaya tidak menggunakan cat pada kuku pada hari pengundian 8 Mac ini bagi memudahkan para petugas mencalitkan dakwat pada kuku atau jari telunjuk tangan kiri mereka.

Setiausahanya Datuk Kamaruzaman Mohd Noor bagaimanapun berkata penggunaan inai adalah dibolehkan kerana ia berwarna merah.

"SPR meminta mereka yang hendak pergi mengundi pada hari pengundian, janganlah memakai cat pada kuku pada hari tersebut, pakailah pada hari lain," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

SPR memutuskan untuk menggunakan dakwat khas dari India yang sukar dipadamkan untuk beberapa hari bagi mengelakkan penipuan dalam pilihan raya umum ke-12 ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah membenarkan penggunaan dakwat tersebut yang tidak melanggar hukum syarak dan dari segi cara penggunaannya.

Semasa ditanya jika masih terdapat pengundi yang datang dengan memakai cat pada kuku, beliau berkata:"Itu saya tak boleh kata apa, kerana itulah syaratnya."

Tambahan pula, katanya SPR tidak menyediakan alat penanggal cat kuku jika masih terdapat pengundi sedemikian.

Bagaimanapun, sebelum ini Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata jika terdapat pengundi memakai cat pada kuku, dakwat itu akan ditandakan pada jari. BERNAMA

Tiada ulasan: