KALAU PILIHAN RAYA BOLEH MENGUBAH SESUATU TELAH LAMA IANYA DIHARAMKAN
Amat jelas garis politik Hindraf membuktikan bahawa jalan raya adalah parlimen yang lebih efektif, cepat dan segera membawakan hasil. Selama 50 tahun wakil-wakil rakyat dan para YB yang mewakili masyarakat Tamil/India telah bersuara di Parlimen tetapi tidak membawakan apa-apa hasil. Hanya Hindraf yang membawa politik jalan raya yang berjaya membawa hasil. DARI JELEBU
Melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dengan harapan ianya akan melahirkan kelainan adalah kerja orang gila.
- Hishamuddin Rais 2008 –
Tiga minggu dahulu ramai kawan-kawan bertanya bilakah pilihan raya akan diadakan. Saya ketawa berdekah-dekah hingga menimbulkan kehairanan mereka. Saya ketawa kerana nampaknya kawan-kawan saya ini tidak sabar-sabar untuk ditipu. Ada juga yang ingin menjadi nujum politik untuk meramalkan pilihan raya. Seolah-olah jika ramalan mereka tepat maka ‘terpancut’ lah kegembiraan mereka dan arif politiklah mereka.
Orang-orang seperti ini kurang sedar dan kurang arif dalam memahami bahawa sistem pilihan raya yang sedia wujud di Malaysia pada ketika ini adalah satu lembaga penipuan. Pilihan raya adalah satu proses penipuan yang tersusun. Bukan silap mata yang menggunakan jin afrit tetapi penipuan melalui struktur dan lembaga-lembaga yang menyusun pilihan raya ini.
Pilihan raya pertama di Tanah Melayu di zaman Tunku/Boestaman/Dr. Seenivasagam/Tan Chee Kon/Pak Sako - mungkin boleh dilihat sebagai pemilihan wakil rakyat yang demokratik. Era pilihan raya yang demokratik itu telah tamat apabila parti Kapal Layar tenggelam oleh ombak rakyat pada tahun 1969.
Justeru saya TIDAK pernah terlintas untuk mendaftar dan saya TIDAK akan mengundi dalam sistem pilihan raya yang sedia ada hari ini. Saya tidak ingin terlibat dengan kerja-kerja bodoh menaikkan harapan rakyat kemudian ‘potong stim’ bila rakyat marah.
Saya hanya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya apabila sistem pilihan raya itu telus, adil dan saksama. Transparen di sini bukan bermakna peti undi itu dapat dilihat luar dan dalamnya. Kotak plastik ini tidak memiliki apa-apa nilai transparen malah ini hanya satu teknik penipuan agar orang ramai kembali yakin bahawa pilihan raya kali ini telus.
Di sini saya ingin orang ramai melihat dan memahami satu lagi garis politik. Garis politik - politik jalan raya - yang diambil oleh Hindraf.
Selama 150 orang-orang Tamil telah ditindas. Mereka dibawa dari India oleh British untuk menjadi Kuli Batak di ladang-ladang getah yang dimiliki oleh syarikat British. Apabila kuasa British dipukul hebat oleh gerakan bersenjata rakyat Malaya maka kuasa kolonial British tidak ada pilihan melainkan mengundur. Ladang-ladang mereka dijagai oleh para cukong baru.
Buruh-buruh Tamil di ladang-ladang terus ditinggalkan begitu saja. Cukong-cukong baru yang mengambilalih ladang-ladang ini lebih ganas dan lebih zalim dari British. Kalau dulu kita nampak orang kulit putih yang berkuasa. Mereka senang dilihat sebagai musuh. Kini para cukong baru adalah anak tempatan – kelentong mereka lebih licik.
Kepahitan kehidupan komuniti Tamil/India ini tidak perlu saya buktikan dengan statistik. Masuk sahaja ke kawasan-kawasan ladang atau pergi lihat kawasan-kawasan setinggan orang India di sekitar Kuala Lumpur. Kita akan melihat kehidupan mereka lebih daif dari zaman mereka menjadi Kuli Batak British. Sekurang-kurang nya penjajah British memiliki sifat kewarasan yang sivil. Tetapi cukong-cukong tempatan sejuta kali lebih zalim dari penjajah. Kezaliman anak tempatan menekan hingga sampai ke tulang som-som.
Akhirnya Hindraf memilih jalan raya sebagai garis politik parlimen mereka. Lihat hasilnya:
- Najib Razak meminta maaf kerana meruntuhkan kuil-kuil mereka. Maaf ini bukan kerana pilihan raya tetapi kerana jalan raya.
- tanpa diminta dan dirayu hari kebesaran mereka – Hari Thaipusam – dijadikan hari cuti awam. Ini kemenangan jalan raya dan bukan kerana pilihan raya.
- sekolah Tamil dengan serta-merta mendapat dana yang lumayan. Ini kemenangan jalan raya dan bukan kerana pilihan raya.
- akan diwujudkan dana khusus untuk membantu masyarakat Tamil/India yang selama ini
- tercicir. Ini bukan kerana pilihan raya tetapi kerana jalan raya.
Amat jelas garis politik Hindraf membuktikan bahawa jalan raya adalah parlimen yang lebih efektif, cepat dan segera membawakan hasil. Selama 50 tahun wakil-wakil rakyat dan para YB yang mewakili masyarakat Tamil/India telah bersuara di Parlimen tetapi tidak membawakan apa-apa hasil. Hanya Hindraf yang membawa politik jalan raya yang berjaya membawa hasil. Ini membuktikan politik jalan raya adalah garis politik yang tepat dan efektif.
Memang ada parti-parti politik yang cuba mempelawa para pemimpin Hindraf untuk bertanding dalam pilihan raya 2008. Jika mereka mengambil bahagian maka mereka akan terperangkap dalam struktur yang menjerut leher mereka. Pelawaan dari parti Barisan Rakyat ini mungkin jujur dan mungkin juga berniat jahat.
Lihat apa yang terjadi kepada gerakan REFORMASI sepuluh tahun dahulu. Musuh-musuh dari dalam dan luar gerakan Reformasi telah berusaha sedaya upaya untuk menubuhkan parti politik. Satu kerja bodoh yang membuang masa. Kerana apa?
Apabila wujudnya struktur parti politik maka akan wujud birokrasi. Dari sini akan wujud apa yang dikatakan ‘pemimpin’. Maka akan muncul para pemimpi ( bukan pemimpin) yang akan berpolitik bukan untuk menjatuhkan kerajaan yang zalim tetapi berpolitik untuk menjadi calon pilihan raya. Ciss! Kerja bodoh. Hasilnya tenaga, wang ringgit dan fikiran akan digunakan dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat yang tidak pernah selesai-selesai.
Dalam mesyuarat ini mereka akan melakukan perkara yang sama ini berulang-ulang kali dengan harapan ianya akan membawa perubahan. Ini kerja orang gila. Mereka terperangkap dengan cita-cita untuk menjadi YB melalui pilihan raya. Cita-cita dan mimpi mereka untuk menjadi YB ini menenggelamkan fikrah mereka untuk memahami bahawa pilihan raya ini adalah struktur dan lembaga yang telah tersusun rapi untuk menipu orang ramai.
Belajar dari Hindraf. Hindraf telah menunjukkan garis politik tepat yang dapat membawa hasil. Apabila Najib meminta maaf kerana meruntuh kuil-kuil Hindu saya terbaca di Harakah Daily kenyataan ‘cemburu bodoh’ dari satu kumpulan Muslim. Kumpulan ini merasa iri hati kerana Najib minta maaf wal hal telah banyak masjid dan surau telah di runtuhkan tanpa maaf dari Najib.
Bezanya Hindraf turun ke jalan raya apabila kuil mereka dirobohkan. Mereka bangun gagah berani. Apabila surau dan masjid dirobohkan apa yang akan dilakukan? Kumpulan yang ‘cemburu bodoh’ ini akan menghantar memo, mengeluarkan kenyataan akhbar, sembahyang hajat dan berdoa. Ini telah mereka lakukan berulang-ulang kali dengan harapan perbuatan mereka ini akan melahirkan hasil yang baru. Poorah. Cuba ikut jalan Hindraf dan lihat hasilnya.
Pada bulan November 1974 berpuluh-puluh ribu rakyat Baling telah turun ke jalan raya mengepung pekan Baling dengan tuntutan harga getah dinaikkan. Berhelikopter Musa Hitam ke Baling. Harga getah naik dengan serta-merta. Tanpa memo, tanpa wakil rakyat, tanpa YB, tanpa pilihan raya, tanpa parlimen – aksi direk ( direct action) rakyat Baling telah menghasilkan tuntutan yang diminta.
Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman. Segala pengalaman yang terkumpul jika TIDAK dijadikan ilmu maka otak manusia ini akan bonsai. Rakyat mahu perubahan tetapi pemimpin mereka ingin jadi YB. Hasilnya mereka membuat kerja yang sama berulang-ulang dengan harapan ia akan melahirkan sesuatu yang baru. Poorah. Mustahil!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan