HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Februari 2008

Tolak Islam Hadhari, kembali kepada Islam sebenar - Presiden PAS
Harakahdaily


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Islam Hadhari adalah satu konsep mengelirukan dan menggugat akidah umat Islam Malaysia.

"Niat dan matlamat sebenar Islam Hadhari menjadi keliru sejak awal lagi. Namanya yang bermaksud Islam Bertamadun menggambarkan seolah-olah ia adalah Islam yang baharu yang lebih bertamadun daripada Islam al-Quran yang asal. Ia tambah mengelirukan kerana mempunyai rukun yang tidak sama dengan rukun Islam asal," kata Ustaz Abdul Hadi dalam satu kenyataannya semalam.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan dan mempelopori satu gagasan baru kepada rakyat Malaysia sejak tahun 2003, yang dinamakan sebagai Islam Hadhari, atau dalam bahasa Melayunya Islam Bertamadun.

Islam Hadhari mempunyai rukun-rukunnya tersendiri yang baharu berjumlah 10 kesemuanya. Islam asal yang diturunkan Allah SWT melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.pula mempunyai lima rukun.

"Islam Hadhari sejak penubuhannya lebih banyak membawa kekeliruan dan masalah kepada pemahaman Islam di kalangan rakyat. Bukan sahaja mereka yang bukan Islam bertambah menjadi sangat keliru, mereka yang beragama Islam, khususnya golongan muda dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi menjadi kelam-kabut," katanya.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, antara perkara-perkara yang membawa kekeliruan adalah:

1. Penerusan Malaysia sebagai pusat pengeluaran arak, perjudian,dan lumba kuda terbesar di Asia Tenggara. Kegiatan-kegiatan ibu kemaksiatan ini terus berkembang dan dilesenkan oleh pentadbiran Islam Hadhari.
2. Konsert dan program hiburan yang melampau secara 'live' dan melalui media massa meningkat lebih 100 peratus sejak Islam Hadhari dilancarkan.
3. Isu murtad. Bilangan orang Islam yang mengisytiharkan keluar daripada Islam (murtad) secara rasmi meningkat dari setahun ke setahun. Setakat ini belum ada sebarang inisiatif daripada pentadbiran Islam Hadhari untuk mengekang masalah dan menjaga kemurnian akidah rakyat secara jelas. Bahkan cadangan PAS di Parlimen ditolak mentah-mentah.
4. Gejala maksiat di kalangan pimpinan. Kebejatan moral yang begitu parah di kalangan pimpinan kerajaan Umno-BN sendiri, khasnya daripada mereka beragama Islam yang diketahui umum tidak menggambarkan kesungguhan di peringkat tertinggi dalam menghayati Islam Hadhari.

Ustaz Abdul Hadi berkata, cara Islam Hadhari diperkenalkan, kandungannya yang kosong, pelaksanaan yang terlalu bercelaru, sokongan kepimpinan sendiri yang tidak lebih daripada tepian bibir mulut, pertentangan secara jelas dengan syariat dan akidah Islam ajaran al-Quran, benar-benar telah mengelirukan rakyat.

Bahkan ia juga mudah membawa kepada kegelinciran akidah Islam sebenar, katanya.

"Dengan demikian, PAS dan rakyat Islam yang prihatin serta menyintai kemurnian akidah dan syariat Islam dengan tegasnya menggesa agar rakyat Malaysia seluruhnya menolak segala usaha yang membawa kepada kekeliruan dan kerosakan akidah dan kembali kepada Islam yang sebenarnya," katanya. - lanh

Tiada ulasan: