HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Februari 2008

Penyokong BN ganas belasah wartawan
Oleh Berita Harian


KANGAR: Dua wartawan Berita Harian cedera selepas dibelasah sekumpulan penyokong parti politik ketika membuat liputan pada satu majlis kempen pilihan raya di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Beseri di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, Rashidi Karim, wartawan sambilan di sini cedera di lengan kanan, kepala dan tangan serta pecah bibir manakala wartawan Adha Ghazali ditumbuk di muka ketika cuba meleraikan kejadian itu.

Rashidi berkata, ketika kejadian beliau dan tiga yang lain termasuk Ketua Biro Utusan Malaysia, Johari Shawal dan jurugambar sambilan Berita Harian, Shahidi Shahidan, berada di luar rumah kedai yang dijadikan bilik gerakan untuk membuat liputan.

"Bagaimanapun, seorang lelaki tiba-tiba menarik baju saya ke belakang dan terus ditumbuk dan ditendang oleh beberapa yang lain,” katanya.

Ketika kejadian, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim sedang berucap di dalam rumah kedai yang bahagian bawahnya dijadikan bilik gerakan. Turut hadir pada majlis itu ialah bekas calon BN Beseri, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Mat Nasir Hussain, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau berkata, polis menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: