HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mei 2008

Belimbing Malaysia Selamat Dimakan


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengesahkan buah belimbing yang dihasilkan peladang tempatan selamat dimakan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata buah bersegi lima itu juga sudah disahkan mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan tidak mempunyai kesan sampingan walaupun diambil dalam jumlah yang banyak.

Sehubungan itu, katanya orang ramai tidak perlu bimbang untuk mengambil buah berkenaan termasuk sebagai pembasuh mulut kerana ia tidak memberi kesan negatif.

"Sungguhpun ada kajian yang menunjukkan buah belimbing mempunyai asid oxalate, ia tidak sampai mendatangkan kesan negatif kepada mereka yang memakannya kecuali beliau seorang pesakit pinggang kronik," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat FAMA di Selayang dekat sini.

Isnin lepas akhbar-akhbar tempatan melaporkan kes seorang warga emas Tan Gon Seang, 66, dari Butterworth, Pulau Pinang yang koma selepas memakan belimbing China ketika dia dan isterinya Teoh Hui Fong, 58, melawat anak mereka yang bekerja di negara itu.

Tan dimasukkan ke hospital kerajaan di Shenzhen pada 29 Mac selepas tidak sedarkan diri dan koma sebaik dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Mohamad Shariff berkata Malaysia mula mengeksport belimbing sejak 45 tahun lalu dengan Eropah sebagai pengimport belimbing terbesar negara dengan nilai import RM32 juta setahun.

"Sejak itu kita tidak pernah berdepan dengan sebarang insiden pemakan buah belimbing pengsan selepas memakan buah berkenaan.

Ini kerana selaku pengeksport Malaysia khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa mamatuhi Amalan Pertanian Yang Baik serta Skim Pensijilan Ladang seperti Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) dan Penjenamaan Malaysia's Best bagi memberi perhatian serius kepada kualiti dan nilai keselamatan buah itu," katanya.

Mengenai dakwaan keluarga Tan bahawa Tan koma kerana memakan buah belimbing, Mohamad Sharif berkata ia tiada kaitan dengan Malaysia.

"Buah belimbing yang ada di pasaran kita adalah buah yang dihasilkan dari ladang-ladang tempatan khususnya dari Johor dan Negeri Sembilan.

Kita memang mengeksport buah belimbing tetapi buah belimbing kita tidak memasuki pasaran China dan kita juga tidak pernah mengimport buah berkenaan dari China," tambahnya.

Beliau bagaimanapun mengesahkan ada membawa masuk buah belimbing dari Taiwan tetapi dalam jumlah yang sedikit.

Katanya sebagai pengeluar makanan Malaysia khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memang menitikberatkan isu keselamatan dalam memastikan eksport buah-buahan khususnya belimbing terus berkembang. BERNAMA

Tiada ulasan: