HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 April 2008

Mahadzir Khalid diseru letak jawatan?
Izwan Abd Halim


ALOR STAR (Hrkh) Ibarat jatuh ditimpa tangga, Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berdepan kemungkinan tidak mendapat sokongan perwakilan Kedah pada Pemilihan Agung Umno kali ini.

Jika di Selangor Dato' Seri Mohd. Khir Toyo meletakkan jawatannya selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, di Kedah Dato' Seri Mahadzir Khalid yang difahamkan Harakah termasuk 'orang kuat' Abdullah kini 'ditunjukkan jalan keluar' untuk mengambil tindakan yang sama.

Ini berikutan desakan yang disuarakan melalui kain-kain rentang yang dipasang di sekitar Alor Star.

Dalam satu tinjauan di sekitar Alor Star, tujuh kain rentang tersebut dapat dilihat masing-masing satu di susur Tandop, Jalan Simpang Kuala, berhampiran Masjid Aman, Jalan Putra dan Jalan Sultanah Bahiyah serta dua di Jalan Pegawai.

Kain rentang yang berbunyi "KAMI MENYOKONG KEJUJURAN TOK DET MENGIKUT LANGKAH DATO' SERI KHIR TOYO MELEPASKAN JAWATAN DALAM UMNO NEGERI KERANA LEBIH MEMENTINGKAN PARTI DARI DIRI SENDIRI...HIDUP TOK DET" itu kemungkinan merupakan desakan dari ahli Umno ekoran kekalahan BN Kedah dalam PRU-12 baru-baru ini.

Sungguhpun tidak pernah mana-mana media melaporkan adanya hasrat perletakan jawatan tersebut, ternyata nada kain rentang tersebut bersifat provokasi yang 'menunjukkan jalan keluar' buat Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Situasi mutakhir membayangkan kemungkinan Abdullah menerima tentangan hebat pada pemilihan Umno kali ini.

Sejurus PRU-12 lalu, Abdullah yang juga Perdana Menteri menerima desakan meletakkan jawatan melalui sepucuk surat yang diutuskan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukriz Mahathir. - mns

Tiada ulasan: