HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 April 2008

PAS punyai peluang menang petisyen Dun Sanglang – Mafrel
Bashir Ishak

KANGAR (Hrkh) - Pengerusi Malaysians for Free and Fair Election (Mafrel), Abdul Malik Hussin melihat peluang yang amat cerah untuk PAS memenangi kerusi Dun Sanglang selepas difailkan petisyen pilihan raya.

Semalam Mahkamah Tinggi Kangar menolak permohonan Saman Pemula oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang dalam PRU ke-12 bagi kerusi Dun N15 Sanglang.

Katanya, ini berdasarkan maklumat yang terkumpul dan beliau yakin pihak PAS (Ustaz Hashim) akan dapat menyiapkan kertas petisyen dalam masa yang ditetapkan iaitu 21 hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 diwartakan.

"Calon PAS (Ustaz Hashim) ada peluang yang cerah untuk mendapat pengadilan oleh mahkamah pilihan raya berdasarkan maklumat yang ada dan diisytihar sebagai pemenang selepas petisyen," katanya.

Abdul Malik turut berada di Kangar semalam bagi mengikuti perkembangan kes tersebut.

Menurutnya lagi, Seksyen 38 Akta kesalahan pilihan raya membolehkan mana-mana calon yang terkilan dengan keputusan pilihanraya mengemukakan petisyen.

"Petisyen dibuat berdasarkan apa yang dituntut seperti memohon untuk membatalkan keputusan pilihan raya atau seperti kes Ustaz Hashim untuk memohon memperakui keputusan yang sebenar kerana berlaku kesilapan teknikal.

"Begitu juga beliau akan menuntut untuk diisytiharkan sebagai pemenang yang sah.

Semuanya bergantung kepada tuntutan oleh pempetisyen. Ini juga termasuk menuntut diadakan pilihan raya semula berdasarkan kes-kes tertentu seperti kesalahan rasuah dan lain-lain," jelasnya.

Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac lalu, Ustaz Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi Dun Sanglang diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.- mks.

Tiada ulasan: