HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Mei 2008

Khir Toyo belum sedar diri
Oleh Saidah Hairan


Baru dua bulan kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan negeri Selangor daripada BN, serangan demi serangan ditujukan tanpa simpati. Pimpinan utama BN dan penyokongnya sehingga ke akar umbi sentiasa menanti dan mencari kelemahan dan kesilapan bukan saja exco bahkan semua Adun dan ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tersilap langkah dan terlepas kata pasti kuda tunggangan BN iaitu RTM dan TV3 akan mengulang-ulangi siaran tersebut tanpa rasa jemu dan kesal.

Manifesto BA yang dijanjikan dalam pilihan raya 8 Mac lalu menjadi taruhan.

Keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu menangguhkan penggurangan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersil 10 peratus, dibidas pihak berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak melatah dalam isu penangguhan tersebut. Beliau mengingatkan rakyat supaya mengambil iktibar kegagalan kerajaan Selangor menunaikan janji tersebut.

Beginilah nasib kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa diamati segala gerak laku.

Walaupun baru dua bulan mengambil alih pucuk pimpinan Selangor daripada BN, kerajaan Pakatan Rakyat tetap akan melaksanakan pemberian air percuma kepada rakyat Selangor bagi 20 meter padu pertama setiap bulan bermula 1 Jun ini.

Ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ditekan dan diserang dari segenap penjuru, pemberian air percuma tetap dilaksanakan.

Apakah negeri-negeri yang di bawah tampuk pimpinan BN atau Khir Toyo sendiri tidak cemburu kepada kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor?

Ini merupakan langkah pertama dan contoh kebajikan yang baik baru dimulakan.

Bukankah ini satu kebanggaan untuk rakyat Selangor dan kejayaan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat? Baru dua bulan memerintah tetapi boleh menunaikan janji tanpa menunggu 50 tahun.

Apa yang kerajaan BN Selangor laksanakan untuk rakyatnya dalam tempoh pemerintahan selama 50 tahun?

Apakah rakyat Selangor selama 50 tahun tinggal di bawah kepimpinan BN berasa selesa, bahagia, aman dan makmur? Adakah aman dan selesa jika rakyat yang tinggal di kawasan setinggan rumah mereka habis dimusnahkan?

Bagaimana pula dengan nasib kariah yang tidak dapat solat berjemaah di masjid atau surau yang disita?

Khir sebagai bekas Menteri Besar jangan hanya pandai menyalahkan orang lain tanpa muhasabah diri. Beliau patut insaf mengapa Selangor berjaya ditawan oleh Pakatan Rakyat.

Khir Toyo tidak perlu bimbang rakyat Selangor akan menganggap kerajaan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan penipu. Rakyat juga tidak akan memanggil Khalid sebagai Menteri Besar Yang Amat Berbohong.

Penulis simpati dengan luahan Khalid ketika ditemui dalam sidang media di SUK, Shah Alam.

Beliau berkata: "Ada yang boleh buat sekarang, ada yang tak boleh buat sekarang. Saya sebagai Menteri Besar Selangor, sebagai ketua eksekutif kerajaan Selangor mesti memutuskan bila benda ini akan dilaksanakan.

"Dalam manifesto kita tidak ada sebut bila akan dibuat. Kita baru dua bulan memerintah. Rakyat boleh menilai kita selepas 100 hari, kita akan senaraikan mana perlu dibuat. Sekarang kerja masih dalam proses itu," tambahnya.

Beliau yang merupakan bekas ahli korporat sudah tentu bijak merancang demi kebajikan dan kebaikan rakyat.

Sikap beliau yang sederhana serta mesra rakyat memudahkan penulis untuk mendekatinya tanpa rasa silu.

Jika dalam masa dua bulan kerajaan Pakatan Rakyat boleh melaksanakan pemberian air percuma tidak mustahil rakyat akan menikmati tawaran lain dalam manifesto pilihan raya lalu.

Tiada ulasan: