HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Mei 2008

Raja Petra dakwa pihak penjara tidak dapat jamin keselamatannya

PETALING JAYA: Pengendali dan penulis portal Malaysia Today Raja Petra Raja Kamarudin berkata beliau bersetuju membayar ikat jamin hari ini selepas pihak berkuasa penjara Sungai Buloh memberitahu bahawa mereka tidak dapat menjamin keselamatannya semasa berada di penjara itu.

Raja Petra, 58, berkata pegawai-pegawai jabatan penjara mendesak beliau membayar ikat jamin selepas beliau enggan menemui isterinya Marina Lee Abdullah.

"Mereka (pegawai penjara) beritahu saya bahawa mereka tidak dapat menjamin keselamatan saya walaupun saya memutuskan untuk tinggal di penjara sehingga hari perbicaraan kes saya pada 6 Oktober," katanya kepada pemberita di Mahkamah Sesyen selepas beliau dibebaskan.

Raja Petra mengaku tidak bersalah Selasa lepas terhadap tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam laman blognya pada 25 April lalu.

Beliau dituduh menyiarkan artikel itu yang bertajuk "Let's send Altantuya murderers to hell" dalam laman blognya.

Raja Petra sebelum ini enggan membayar ikat jamin RM5,000, dan memilih untuk dipenjarakan.

Bagaimanapun beliau menukar fikiran dan bersetuju menemui isterinya semalam, lalu membayar ikat jamin, dan Hakim Mahkamah Sesyen Nurmala Salim mengeluarkan "Perintah untuk Dikemukakan (di mahkamah)" Raja Petra hari ini.

Raja Petra menafikan beliau melancarkan mogok lapar dan menambah bahawa beliau sengaja enggan mengambil makanan di penjara.

"Kenapa saya harus makan makanan penjara. Makanan itu adalah wang rakyat, Saya rasa wang rakyat tidak dibelanjakan dengan sebetulnya," katanya.

"Memandangkan saya tidak dapat makan makanan luar, jadi saya langsung tidak makan," tambahnya. BERNAMA

Tiada ulasan: