HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Mei 2008

Kuantan hadapi masalah dengan PBT Ahli Parlimen
Oleh : Sinar Harian.


KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menolak permohonan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang ingin mengadakan Program Anugerah Sijil Takaful kepada 200 penduduk di Taman Mahkota Square.

Program yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini berdepan masalah setelah MPK tidak memberi kelulusan tanpa sebarang alasan sehingga menyebabkan perjalanan program terpaksa dikaji semula.

Masalah ini mengundang rasa kurang puas hati ahli parlimen yang menyifatkan MPK tidak menjalankan tugas dengan telus, bersifat diskriminasi dan kurang profesional.

Menurut Fuziah, permohonan berkenaan telah diusulkan kepada MPK kelmarin, bagaimanapun jawapan yang diterima amat mendukacitakan selain tiada sebarang maklum balas konkrit diberi.

Katanya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan program berkenaan bukan bermotif politik, sebaliknya untuk kepentingan penduduk di bawah Parlimen Kuantan.

“Ini kali kedua MPK bertindak sedemikian dan hubungan dua hala yang sepatutnya dijalinkan dengan baik tidak berjalan seperti yang dirancang selain mereka terus mengamalkan sikap diskriminasi terhadap parti pembangkang.

“Permohonan yang tidak diluluskan itu telah menyebabkan kami terpaksa menggunakan alternatif lain bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dan tanggungjawab serta janji kepada penduduk dapat dilunaskan.

“MPK secara tidak langsung mencantas usaha kami untuk menjalankan tugas yang diamanatkan agar kebajikan penduduk dapat dibela dengan penuh kesaksamaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Baginya, keadaan tersebut seharusnya tidak dijadikan amalan dan budaya kerja kerana secara jelasnya bukan sahaja akan merosakkan antara PR dengan MPK malah akan meninggalkan imej kurang baik kepada PBT.

“Jelas mereka MPK menganaktirikan kami walaupun pada hakikatnya rakyat yang memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai pemimpin setempat dan mandat tersebut sepatutnya dihormati,” ujarnya.

Tiada ulasan: