HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Mei 2008

"Selangor akan tunai janji secara peringkat" Khalid
Bernama

Shah Alam : Langkah menurunkan cukai taksiran atau sebaliknya bagi rakyat Selangor akan diputuskan oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS selepas siap Wawasan Selangor dan Bajet negeri 2009 tahun ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya selepas Wawasan Selangor dan Bajet 2009 itu siap, maka kerajaan negeri akan menjelaskan kepada rakyat mengenai nilai wang yang mereka bayar untuk perkhidmatan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Kita mahu nilai wang pembayar cukai taksiran dengan perkhidmatan yang diterima oleh penduduk Selangor berbanding dengan perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini hari Rabu.

Katanya kerajaan negeri akan menunaikan janji secara berperingkat kepada rakyat negeri itu seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kemampuan kerajaan negeri buat masa ini.

"Saya berpendapat apa yang tidak dapat ditunaikan buat masa ini akan kita tunaikan kemudian secara berperingkat," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika mengulas komen Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa pakatan itu tidak mengotakan janji-janji pilihan raya termasuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus.

"Saya fikir terdapat banyak gembar-gembur politik berbanding nilai sebenar tetapi penduduk, pengundi dan ahli profesional akan menilai kami semasa 100 hari pemerinthan kami di Selangor," katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri bersedia menggariskan semua langkah yang diambil termasuk kemajuan sesuatu usaha itu dan bagaimana mereka menjalankan tugas dengan baik berbanding kerajaan negeri terdahulu.

Buat permulaan tahun ini, semua pengguna air bagi rumah kediaman di Selangor akan mendapat bekalan air 20 meter padu secara percuma mulai 1 Jun ini, katanya.

Isnin lepas, kerajaan Selangor mengumumkan tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum kerana keadaan ekonomi negeri belum mencapai tahap yang memuaskan.

Tiada ulasan: