HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Mei 2008

Laporan Suruhanjaya Diraja siasatan klip video Linggam,Siasat dan dakwa mereka yang terbabit.


PETALING JAYA (SK)- Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi perlu menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit seperti dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja siasatan kes klip video V.K. Linggam.

Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, berkata, jika Abdullah serius mahu mengadakan reformasi terhadap badan kehakiman seperti yang pernah diumumkan, maka beliau perlu membawa laporan itu langkah seterusnya.

Menurutnya , langkah itu adalah seperti yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu supaya mereka yang terbabit disiasat dan didakwa.

“KeADILan mengalu-alukan langkah Suruhanjaya Diraja menyerahkan laporan hasil siasatan kepada Yang DiPertuan Agong dan mahu hasil laporan siasatan itu segera didedahkan kepada rakyat negara ini.

“Kami juga mahu penjelasan bersabit laporan suruhanjaya yang mengaitkan isu ketidakadilan pendakwaan dan penghukuman kes-kes tertentu di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut”. katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di pejabatnya di Petaling Jaya petang tadi.

Menurutnya, amat mendesak sekali untuk kerajaan mengambil tindakan wajar mengembalikan keyakinan terhadap badan kehakiman serta memastikan penyiasatan dan pendakwaan salahlaku jenayah oleh jabatan peguam negara bebas daripada gangguan pemerintah.

Tindakan itu, katanya membabitkan beberapa percanggahan serta kaedah yang dipertikai yang sewajarnya dipatuhi oleh pihak terbabit dalam penyiasatan kes yang melibatkan pimpinan kerajaan termasuk kes yang tercela dan membabitkan dana besar.

Beliau berkata, rakyat negara ini prihatin tentang pemasalahan tersebut dan justeru itu tidak harus diremehkan oleh pemerintah sekarang.

“Sebarang tindakan yang dianggap tidak bersungguh-sungguh bagi memulihkan kewibawaan badan kehakiman pastinya tidak akan berhasil”, katanya lagi.

Tiada ulasan: