HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Mei 2008

Satu batalion pasukan khas mula kawal KLIA


KUALA LUMPUR: Satu batalion yang terdiri daripada 141 anggota pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan tugas mereka hari ini mengawal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata anggota pasukan tersebut mengawal kawasan balai berlepas dan tapak udara.

"Ini pertama kali pasukan polis diberi kebenaran untuk memasuki kawasan tapak udara yang sebelum ini dikawal sepenuhnya oleh Malaysia Airport Berhad (MAB).

"Kita berharap dengan penubuhan pasukan khas ini, ia akan dapat menangani ancaman keselamatan dan memberi kawalan sepenuh masa di KLIA dan sekaligus dapat meningkatkan keyakinan orang ramai termasuk pelancong asing terhadap tahap keselamatan di KLIA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bangunan baru Balai Polis Kota Damansara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan pasukan khas tersebut bagi mengawal KLIA mulai pagi ini dengan dibantu Pasukan Tindak Balas Krisis daripada unit elit PDRM.

Pada 9 April lalu, berlaku rompakan RM3.5 juta di KLIA di mana lima orang termasuk seorang anggota polis, seorang warga Nepal dan seorang pengurup wang cedera ditembak oleh empat lelaki. BERNAMA

Tiada ulasan: