HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mei 2008

Wan Azizah minta tahanan ISA dibebaskan


KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah (PKR Permatang Pauh) hari ini sekali lagi menggesa kerajaan membebaskan tanpa syarat kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau membicarakan mereka dalam mahkamah terbuka.

Beliau berkata sejak digubal pada 1960, ISA telah menjadi alat paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa bicara.

"Akta ini telah menyekat kebebasan individu, meningkatkan kuasa eksekutif, melemahkan kuasa mahkamah dari menyemak sebarang ketidakadilan dan menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia.

"Sejak ISA diperkenalkan, sejumlah 10,711 orang menjadi tahanan di bawah akta itu," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata pada masa ini terdapat 70 orang lagi yang masih ditahan mengikut akta berkenaan di kem tahanan Kamunting, di Taiping.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS Marang) pula berkata Malaysia tidak perlu lagi mempunyai akta seperti itu sekiranya kerajaan benar-benar mengamalkan sistem demokrasi.

"ISA diwujudkan semasa negara menghadapi ancaman darurat tetapi sehingga kini selepas negara merdeka, akta itu masih diteruskan...ini tidak perlu," katanya.

Beliau berkata jika akta itu terus digunakan, ia seolah-olah menggambarkan negara ini bukan berada dalam keadaan stabil dan aman.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN Pasir Salak) sebaliknya berkata ISA perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan negara tidak tergugat, terutamanya memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk.

Dewan ditangguh sehingga Isnin. BERNAMA

Tiada ulasan: