Pemain bola sepak Perlis pula disiasat BPR
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Kamudin Baharom
KUALA LUMPUR: Isu rasuah yang melanda pasukan bola sepak Sarawak, kini merebak ke Perlis selepas beberapa pemain pasukan Singa Utara itu disyaki terbabit mengatur keputusan perlawanan Liga Super sekarang.
Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Shukri Abdull mengesahkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) membuat laporan di pejabat BPR negeri di Kangar, kelmarin.
Beliau berkata, PFA membuat laporan itu kerana mengesyaki ada pemainnya terbabit dalam gejala rasuah.
"Jadi, kita sedang menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Shukri bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan beberapa pemain pasukan Perlis akan ditahan kerana siasatan masih dijalankan.
Sebelum ini, BPR menyiasat pemain skuad bola sepak Sarawak kerana dipercayai terbabit mengatur keputusan perlawanan membabitkan pasukan negeri itu dalam Liga Super.
Setakat ini, BPR Sarawak menahan reman seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang turut mewakili Sarawak antara 1992 hingga 2007 kerana disyaki menjadi perantara antara kaki judi dan pemain.
BPR turut memanggil lapan pemain Sarawak untuk diambil kenyataan bagi membantu siasatan.
Persatuan Bola Sepak Polis pula turut dilapor memanggil sembilan pemainnya untuk memberi keterangan berikutan persembahan buruk pasukan itu yang juga dikaitkan dengan gejala mengatur keputusan perlawanan.
Di KANGAR, Penolong Pengurus Perlis, Mohd Noor Aziz, mengakui beliau sendiri membuat laporan di pejabat BPR Perlis berikutan prestasi pasukan itu yang mengecewakan.
"Bagaimanapun laporan ini tidak ditujukan kepada mana-mana pemain, cuma kita mahu siasatan diadakan berikutan prestasi pasukan yang merosot yang berkemungkinan besar terdapat unsur rasuah," katanya.
Mohd Noor berkata, kemerosotan skuad Perlis amat ketara pada sembilan perlawanan terakhir pusingan kedua Liga Super.
"Daripada sembilan perlawanan itu, hanya satu perlawanan dimenangi Perlis, manakala empat lagi tewas dan empat seri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan