HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Jun 2008

Belajar tingkatan 6 ala sistem universiti
Oleh THOMAS CHONG


PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran akan melakukan penjenamaan semula terhadap pendidikan di tingkatan enam supaya ia lebih bercirikan sistem di universiti termasuk memperkenalkan pembelajaran berbentuk kuliah dan tutorial.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, mulai tahun depan kelas di tingkatan enam akan diajar oleh kumpulan guru khas yang jawatan mereka lebih tinggi daripada guru tingkatan satu hingga lima.

"Sebelum ini guru tingkatan enam perlu mengajar pelajar di tingkatan lain tetapi sekarang kita tidak mahu perkara itu berlaku lagi.

"Mulai tahun depan, guru tingkatan enam hanya akan mengajar tingkatan enam dan bukannya tingkatan lain.

"Masa persekolahan tingkatan enam juga mungkin akan berubah dan tidak akan lagi sama seperti di sekolah biasa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini.

Pada tahun lalu, terdapat kira-kira 180,630 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memasuki tingkatan enam dengan 127,879 memasuki aliran kemanusiaan manakala 52,751 belajar dalam aliran sains.

Alimuddin memberitahu, usaha menaik taraf tingkatan enam bersesuaian dengan statusnya sebagai pendidikan pra-universiti yang berperanan menyediakan pelajar untuk ke menara gading.

"Tingkatan enam perlu dibezakan dengan sekolah menengah biasa kerana ia adalah peringkat yang lebih tinggi dalam sistem persekolahan," ujarnya.

Beliau berkata, pendidikan pra-universiti di tingkatan enam seharusnya sama dengan persekitaran di kolej matrikulasi, institut pendidikan guru (IPG) dan Institut Aminuddin Baki yang sistem pembelajarannya seperti di universiti.

Menurut beliau, penjenamaan semula tingkatan enam dijalankan selari dengan pengumuman pertambahan peluang kenaikan pangkat untuk guru yang mengajar di tingkatan enam.

"Guru yang mengajar di tingkatan enam diberi satu perjawatan yang lebih tinggi berbanding kumpulan guru di tingkatan satu hingga lima,'' katanya.

Tiada ulasan: