HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Jun 2008

Culik bayi: Tahanan reman suspek dilanjut


JOHOR BAHRU - Perintah tahanan reman ke atas lima suspek dalam kes penjualan bayi yang sepatutnya berakhir hari ini disambung sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Mereka yang ditahan selepas polis berjaya menumpaskan sindiket penjualan bayi pada Khamis itu, direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di sini hari ini.

Majistret S. Rajeswari menetapkan tarikh tersebut ke atas mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 48 tahun hingga 62 tahun itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan ke atas kegiatan sindiket penjualan bayi yang bergiat aktif di sekitar bandar raya ini.

"Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Selain itu katanya, dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 40 tahun yang ditahan semalam di Tampoi kini direman empat hari sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dalam serbuan Ops Kasih pada Khamis lalu, polis berjaya membongkar satu sindiket jual beli bayi di bandar raya ini yang menjadikan sebuah klinik swasta sebagai markas operasi mereka.

Sehingga kini seramai lima bayi di sini dan seorang bayi di Pontian telah ditemui sejak Khamis lalu.

Bayi-bayi berkenaan kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini sehingga diputuskan sebaliknya oleh mahkamah kelak.

Tiada ulasan: