HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Jun 2008

Isu peniaga, Dr Lo'Lo' jumpa MB S'gor
Abdul Rahim Sabri


Ahli Parlimen Tititawangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali akan menemui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim minggu depan untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh peniaga di Lot 25 di pasar minggu Kampung Baru yang diarahkan berpindah 20 Jun depan.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui notis bertarikh 20 Mei lalu, yang mengarahkan mereka mengosongkan premis perniagaan di situ dalam tempoh sebulan.

Lot 25 merupakan kawasan perniagaan terawal orang Melayu yang pernah dibangunkan semula dan dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1967.

Lot itu meliputi kawasan pasar minggu, gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa.

Menurut Dr Lo'Lo', beliau telahpun memaklumkan perkara tersebut kepada Khalid ketika mereka bertemu di Parlimen minggu lalu.

Katanya, beliau juga telahpun menemui wakil Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) berhubung perkara tersebut.

Peniaga bermesyuarat

Bagaimanapun, katanya, beliau belum lagi menerima sebarang dokumen dari persatuan tersebut yang mendakwa kawasan terbabit milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Saya minta agar (persatuan) peniaga membawa bukti status tanah di situ (kepada saya) supaya dapat diserahkan kepada Tan Sri Khalid," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dr Lo'Lo' berkata, jika benar kawasan tersebut milik PKNS, maka pihak yang berhak menyelesaikan isu tersebut adalah PKNS dan bukan DBKL.

"Mereka (peniaga) harus bertindak dengan cepat (dengan menghantar geran dan carian tanah) dan kita mahu rakyat di situ memiliki tanah, bukan satu badan sahaja," jelasnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PPKPM, Mohamad Nadzri Abdul Hamid berkata, persatuan itu akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya malam ini untuk membincang arahan DBKL itu.

"Mesyuarat itu antara lain akan membincangkan tindakan dan langkah yang perlu diambil oleh persatuan berhubung notis yang diterima mengenai perkara itu," katanya.

Tiada ulasan: