HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Jun 2008

Perkenal ‘kad khas’ mudahkan subsidi minyak


KOTA KINABALU – Kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan ‘kad khas’ bagi memudahkan pemberian subsidi minyak kepada rakyat, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Melalui sistem yang akan diperkenalkan itu kelak, pemilik kenderaan hanya menikmati subsidi terhad bagi setiap bulan dan perlu membayar mengikut harga pasaran jika penggunaan petrol melebihi had ditetapkan.

“Kita masih lagi menilai sistem ini termasuk keperluan infrastruktur tertentu apabila kerajaan memperkenalkan kad khas itu,” katanya selepas mesyuarat bersama pegawai Kementerian Kewangan di sini semalam.

Beliau menambah, pembayaran rebat tunai sebanyak RM625 adalah pendeka- tan terbaik yang diambil oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 41 peratus.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai desakan Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang meminta Petronas mendedahkan nilai perolehannya, Nor Mohamed berkata, Petronas akan membuat penjelasan berhubung kedudukannya berikutan kenaikan harga bahan bakar serta penstrukturan semula subsidi bahan itu minggu depan.

Katanya, penjelasan itu akan dibuat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Ekse- kutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican.

Sebelum ini, terdapat desakan ramai pihak yang mahu Petronas menjelaskan kepada rakyat mengenai pendapatannya serta bagaimana ia dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun Nor Mohamed menjelaskan bahawa pendapatan Petronas tidak harus digunakan sepenuhnya untuk membayar subsidi minyak, sebaliknya wang berkenaan juga perlu diurus secara berhemat untuk kemakmuran dan kesejahteraan generasi akan datang.

Tiada ulasan: