HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Jun 2008

"Saya tidak popular di kalangan DBKL"
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali memberitahuu bahawa beliau adalah antara individu yang 'tidak popular' di kalangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menjalankan tanggung jawabnya memenuhi kehendak dan suara hati rakyat khususnya melibatkan warga kota.

Katanya apa yang dilakukan selama ini yang melibatkan sebarang kritikan, teguran dan cadangan adalah semata-mata untuk memastikan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL dapat berfungsi dan menyediakan khidmat masyarakat dengan lebih efisien dalam menyediakan infra struktur dan prasarana kepada rakyat.

"Saya tahu, saya tidak popular di kalangan DBKL kerana menjalankan tanggung jawab saya sebagai ahli parlimen dan wakil kepada rakyat yang perlu membawa dan menangani masalah rakyat dengan sebaiknya.

"Lihat hari ini, saya kesal kerana tiada seorang pegawai DBKL yang hadir bersama-sama dalam lawatan saya hari ini untuk memberi taklimat tentang kompleks ini," katanya ketika ditemui sewaktu membuat lawatan ke tapak Kompleks Pasar Keramat pagi tadi dekat sini.

Katanya kehadiran pegawai DBKL adalah penting untuk memberi penjelasan tentang perjalanan tapak projek yang dilaksanakan di samping dapat berbincang dengan lebih fokus kepada penambahbaikan demi memberi kemudahan kepada rakyat setempat.

Untuk tujuan itu beliau telah mengikut prosedur dan kaedah yang disarankan dengan menghantar surat rasmi dan menghubungi DBKL bagi memohon pegawai DBKL yang terlibat seperti Pengurus Cawangan DBKL Titiwangsa untuk membantu dalam lawatan tersebut.

"Respons begitu mengecewakan dan saya mengambil keputusan untuk melawat tapak projek tanpa kehadiran pegawai DBKL," katanya.

Dalam lawatan tersebut, jurutera Pembina Ikasas Merak Amirul Hisham dan QS Shahrul Suwandi memberi taklimat ringkas dan membawa Dr Lo' Lo' melawat kompleks empat tingkat itu yang dijangka siap pada penghujung Ogos depan.

Menurut Amirul kompleks tersebut menempatkan 118 buah ruang niaga untuk perniagaan barang basah sepeti ikan, sayur dan ayam manakala 190 kedai mini yang dikenali sebagai 'lock-up stall' disedikan untuk para peniaga.

Kompleks itu juga menyediakan kemudahan Banquet yang boleh memuatkan 1,000 kehadiran tetamu untuk majlis perkahwinan, 134 'stall' medan selera, dua ekskalator, tujuh lif, kemudahan surau dan sejumlah 400 tapak meletak kereta bagi kemudahan orang ramai.

"Secara peribadi, kemudahan dan prasarana kompleks ini kita berpuas hati namun ada beberapa perkara yang harus diperbaiki.

"Namun dalam hal ini saya perlu juga mendengar keluhan dan masalah peniaga Pasar Keramat lama terlebih dahulu yang tidak mahu berpindah," katanya yang akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam masa terdekat.

Kira-kira setengah jam lawatan itu tiba seorang pegawai DBKL menghampiri Dr Lo' Lo' untuk bertanya dengan nada serius: "Ini lawatan rasmi atau mengejut?

Namun 'salam perkenalan' pegawai DBKL itu dijawab secara tenang oleh Dr Lo' Lo' bahawa tujuan lawatan itu adalah bagi memenuhi permintaan rakyat dan para peniaga yang mahu beliau dengan segera melawat tapak projek dan memberi maklum balas selanjutnya.

"Saya Ahli Parlimen mereka dan saya mesti respons dengan segera. Saya secara rasmi menghantar surat dan menghubungi DBKL dua minggu lalu, saya tidak boleh tunggu dan tangguh lagi.

"Saya datang kerana rakyat dan sebilangan besar peniaga Pasar Keramat yang meminta saya melawat tapak projek ini dan mesti respons dengan segera," katanya dan pegawai tersebut lalu beredar tanpa turut serta dalam lawatan tersebut.

Dalam pertemuan selepas lawatan itu, Dr Lo' Lo kesal dengan layanan yang diberikan oleh pihak DBKL dalam membantu beliau menyelesaikan dan membantu masalah rakyat.

"Semua sudah saya buat, semua saya ikut dan dah buat apa yang diarahkan oleh DBKL, ikut prosedur tetapi jawapan dan tindakannya mengecewakan," katanya.

Sebelum ini Dr Lo' Lo' telah turun ke Jalan Pahang Barat dekat sini bagi membuat protes kenaikan kadar parking di Kuala Lumpur yang bakal dilaksanakan DBKL.

Dr Lo' Lo' bersama pemilik kenderaan sekitar Jalan Pahang telah berdemo bagi membantah kenaikan parking itu.

"Dahlah rakyat luka dengan kenaikan harga minyak, DBKL datang menyapukan garam pula ke atas luka ini," katanya membantah. - mns_

Tiada ulasan: