HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 Jun 2008

Selangor kaji semula perjanjian projek penswastaan


SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mahu mengkaji semula terma perjanjian semua projek penswastaan di negeri itu yang berat sebelah bagi mempastikan projek dan perkhidmatan terbabit menguntungkan rakyat mengikut konsep "merakyatkan ekonomi" yang diamalkan, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya langkah tersebut tidak bermakna kerajaan negeri mahu menamatkan perjanjian atau bersikap tidak suka melihat pihak syarikat membuat keuntungan.

"Kita cuma mahu berunding semula agar keuntungan di pihak swasta adalah pada kadar yang wajar agar sebahagiannya dapat dipulangkan kepada rakyat," katanya pada sesi perjumpaan dengan pengarang-pengarang media di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di sini hari ini.

Tanpa memberi rincian projek-projek penswastaan yang terbabit beliau berkata, penduduk Selangor dianggap sebagai pemegang saham yang harus berkongsi keuntungan dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik atau membayar kadar perkhidmatan yang berpatutan.

Katanya beliau akan membuat beberapa pengumuman menarik pada majlis sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat negeri Selangor yang dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam Jumaat ini.

Kerajaan negeri baru-baru ini mencapai persetujuan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Sdn Bhd tentang pembekalan air percuma 20 meter padu kepada isu rumah di Selangor sebagaimana dijanjikan pada pilihan raya umum lepas. BERNAMA

Tiada ulasan: