Seramai 54 aktivis yang ditangkap ketika mengadakan bantahan duduk terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di ibu pejabat Jabatan Kastam di Kelana Jaya bulan lalu, akan didakwa atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman esok.
Sebelum ini, 25 individu, termasuk dua ahli Parlimen, telah didakwa pada 26 Mac lalu berhubung bantahan duduk itu.
Menurut penyelaras bantahan duduk itu, NGO Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), ikatjamin dianggarkan RM3,000 seorang, menjadikan jumlah keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM162,000.
Kumpulan itu merayu sumbangan untuk mereka yang tidak mampu membayar RM3,000 itu, di laman Facebooknya malam tadi.
Ini disahkan oleh aktivis Jay Jay Denis yang merupakan antara 54 aktivis yang akan didakwa di mahkamah esok.
Katanya, pihak polis telah memaklumkan kepadanya supaya hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Jay Jay juga merupakan pembantu kepada Ahli Parlimen DAP Charles Santiago.
Yang lainnya yang dijangka didakwa esok ialah ahli jawatankuasa pusat PSM, Rani Rasiah.
Risiko MP hilang kerusi
Pada 25 Mac lalu, 79 orang ditangkap kerana mengadakan bantahan duduk membantah GST di Jabatan Kastam itu, manakala tiga lagi ditangkap semasa himpunan nyalaan lilin untuk aktivis berkenaan di luar balai polis Kelana Jaya.
Antara mereka yang didakwa pada 26 Mac lalu ialah Ahli Parlimen (MP) Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj; MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan.
Jika disabitkan kesalahan, ahli Parlimen berkenaan berdepan kemungkinan kehilangan kerusi mereka memandang denda maksimumnya ialah sebanyak RM20,000.
Seseorang ahli Parlimen hilang kerusinya di Dewan Rakyat jika dihukum denda RM2,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
GST mula dilaksanakan pada 1 April tahun ini pada kadar permulaan sebanyak 6 peratus.
Sebuah gabungan kumpulan masyarakat sivil akan menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Jumaat depan - yang merupakan Hari Buruh - untuk membantah cukai baru itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan