MALAYSIAKINI
Rentetan kemelut kerjasama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil
Permatang Pauh, Pemuda PAS menggesa Majlis Syura parti itu menegur
seorang ulama akar umbinya yang mengeluarkan 'fatwa' berkaitan hudud.
Katanya, pandangan Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh Badrul Abdul
Rahman bahawa “haram mengundi calon tolak hudud” boleh mengundang
masalah kepada peluang pembangkang.
“Apa yang dia katakan boleh mewujudkan sedikit masalah, jadi kita minta
teguran itu dibuat oleh Majlis Syura Ulama,” kata Ketua Pemuda PAS
Suhaizan Kaiat ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau juga berkata Badrul seharusnya merujuk kepada Majlis Syura, badan
tertinggi dalam PAS, untuk membuat kenyataan berkaitan hukum hakam.
“Dia (Badrul) boleh rujuk Majlis Syura berkaitan hukum dan sebagainya.
“(Mereka) lebih arif mengenai perkara (hukum) tersebut,” katanya.
Muka depan akhbar
Badrul menimbulkan ketegangan apabila mengeluarkan kenyataan itu di
tengah-tengah kemelut pelaksanaan hudud di Kelantan yang gagal mendapat
sokongan diharapkan daripada PKR dan DAP.
PAS Permatang Pauh sebelum ini mendesak PKR memohon maaf dan menarik
balik keputusan tidak menyokong rang undang-undang hudud yang mahu
dibentangkan parti Islam itu di Parlimen.
PAS kawasan itu, melalui mesyuarat 19 April lalu, dilapor memberikan
kata dua itu kepada PKR jika mahu mereka membantu kempen pilihan raya di
kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Sementara itu, 'fatwa' Badrul itu mendapat perhatian media arus perdana apabila Utusan Malaysia dan Sinar Harian hari ini melaporkan di muka depan akhbar masing-masing.
Utusan menggunakan tajuk “Haram, Berdosa jika undi calon tolak hudud” manakala Sinar pula menggunakan judul “fatwa PAS Permatang Pauh”.
Pilihan raya kecil Parlimen itu diadakan susulan Anwar sebagai
penyandangnya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas disabitkan
bersalah meliwat bekas pembantunya dan dipenjarakan di Sungai Buloh.
PKR dijangka meletakkan anggota keluarga Anwar, kemungkinan besar
isterinya dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail manakala BN pula
menjanjikan kejutan, yang masih dirahsiakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan