Roketkini.com
GEORGE TOWN: Pemuda DAP (DAPSY) Pulau Pinang komited membantu calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Ketua DAPSY Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat bagi memastikan kemenangan dapat dicapai.
“Bagi kempen PRK Permatang Pauh yang akan dimulakan dari 25 April hingga 7 Mei nanti, kami akan ketepikan perbezaan tanpa mengubah pendirian mengenai perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun katanya, DAPSY Pulau Pinang membuat keputusan untuk membekukan semua hubungan dengan Pemuda PAS negeri.
“Keputusan telah dibuat. DAPSY Pulau Pinang akan membekukan hubungan kami dengan Dewan Pemuda PAS negeri,” tegasnya.
Ng yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyatakan pihaknya menghormati keputusan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang jika mereka mahu melibatkan Pemuda PAS negeri dalam aktiviti kempen.
Jelas Ng, hubungan antara sayap pemuda tidak harus menjadi isu selagi masing-masing berpegang teguh pada tekad melawan BN sekaligus memberikan kemenangan kepada calon PKR nanti.
“Dalam erti kata lain, persoalan menarik balik keputusan sebelum ini atau menamatkan pembekuan, langsung tidak timbul.
“DAPSY Pulau Pinang komited sepenuhnya untuk menggerakkan semua pemimpin muda kami dari semua bahagian dalam negeri dan negeri-negeri lain.
“Kami harap, semua orang boleh membantu sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh,” ujarnya.
Pada Pilihanraya Umum (PRU) lalu, Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila turut memenangi tiga kerusi DUN iaitu di Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini mengarahkan semua kawasan partinya bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam PRK ini termasuk di Rompin nanti.
PRK Permatang Pauh dilihat sebagai PRK terpenting, terutama dalam kempen PR untuk memansuhkan cukai mendesak iaitu GST.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja terhadap Anwar, yang dipohon melalui anggota keluarganya.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan