THE RAKYAT POST
Dalam nahas membabitkan
dua kereta di Bukit Ah Kim, Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang pada jam
11.40 malam, 24 Jun lalu mujurlah dua lelaki dan seorang wanita yang
terbabit hanya mengalami kecederaan ringan. - Foto Twitter @jbpm
SETIAP
kali menjelang musim perayaan kita dikejutkan dengan pelbagai bentuk
tragedi yang menyayat hati – pembunuhan bersenjata, kebakaran dan
kemalangan maut – menjadikan sambutan Aidilfitri bertukar sedih, pilu
dan muram.
Kita sentiasa dinasihatkan agar sentiasa
berhati-hati ketika memandu, biar lambat asal selamat, pandu cermat jiwa
selamat, dan diingatkan memeriksa kenderaan sebelum memulakan
perjalanan.
Meskipun kerosakan kenderaan boleh
menyumbang kepada kemalangan, peratusannya adalah begitu kecil
berbanding dengan ketidaksabaran ketika memandu.
Mereka yang memandu secara gopoh-gapah, tidak berhemah sebenarnya tidak memahami apa yang diajar oleh Islam.
Sebagai agama yang mengutamakan
keselamatan dan kesejahteraan, Islam menuntut kita agar jangan terlalu
gembira untuk pulang berhari raya sehingga hilang tumpuan semasa
memandu.
Sekiranya
kita berasa letih dan mengantuk, adalah lebih baik berhenti seketika
dan tidak meneruskan perjalanan dalam situasi lesu dan fikiran
terganggu.
Begitu juga dengan sikap kita sebelum memulakan perjalanan, kita hendaklah memulakannya dengan berdoa, “Subhanallazi sakharalana hazawamakunna lahumuqrinin wainnailarabbina lamunqalibun“.
Menurut kata sesetengah ulama, sesiapa
yang membaca doa ini sebelum memulakan sesuatu perjalanan ke suatu
destinasi, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat.
Mereka yang berdoa akan dilindungi daripada gangguan dan bahaya, insya-Allah.
Dalam konteks negara kita berlakunya kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh kecuaian dan sikap buruk kita.
Sikap seperti ini pada pandangan agama sebagai “tahlukah” (menuju kebinasaan).
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang
melakukan kebaikan” (Surah al-Baqarah ayat 195).
Demikian juga dalam satu firman yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (Surah al-Furqan ayat 2)
Seorang mukmin harus mengetahui dan
menyedari hakikat takdir sehingga ia mampu menjalani kehidupan dan
melaluinya dengan tenang – tidak panik ketika bencana datang, pun tidak
gelisah ketika musibah menimpa, juga tidak bergembira secara berlebihan
ketika memperolehi nikmat.
Takdir adalah ketentuan daripada Allah
Yang Maha Kuasa sehingga manusia harus menerimanya, sama ada hal yang
baik mahupun yang buruk.
Kepercayaan kepada takdir (Qada dan Qadar) merupakan salah satu daripada enam rukun iman.
Mempercayai takdir bererti beriman kepada
ilmu Allah Yang Qadim, yang meliputi segala sesuatu, baik yang telah
mahupun yang akan terjadi.
Dialah (Allah) yang menuliskan segala hal di Luh Mahfuz. Semua yang terjadi adalah kerana kehendak dan keinginan-Nya.
Allah Maha Kuasa melakukan apa pun. Allah
yang menciptakan semuanya. Tiada tuhan selain Dia. Tiada pencipta
selain Dia. Tiada Yang Maha Mengatur selain Dia.
Dari segi realiti, memang benar kita tidak boleh lepas daripada takdir Tuhan. Tetapi takdirNya tidak hanya satu.
Bila seseorang berusaha menghindarkan diri daripada bahaya tersebut, maka itu pun takdir.
Bukankah Allah telah memberi manusia itu kemampuan untuk memilih?
Sesuatu yang tidak difahami apabila seseorang itu mengingati takdir pada waktu kesusahan dan lebih mengelirukan lagi apabila mempersalahkan takdir bagi bala bencana yang menimpanya.
Mereka menggunakan dalih takdir bagi menutup segala kesalahan atau kelemahan.
Setiap manusia mempunyai takdir sesuai dengan ukuran yang diberikan oleh Allah terhadapnya.
Manusia tidak dapat terbang seperti
burung. Ini adalah takdir-Nya atau ukuran kemampuan yang ditetapkan oleh
Allah ke atas manusia.
Di samping itu manusia berada dalam
lingkungan takdir, sehingga apa yang dilakukannya tidak terlepas
daripada hukum-hukum dengan bermacam kadar ukurannya itu.
Kita dapat memilih yang mana di antara takdir (ukuran-ukuran) yang ditetapkan oleh Allah untuk kita ambil.
Dalam satu peristiwa Saidina Umar al-Khatab enggan memasuki satu daerah yang dihinggapi wabak taun.
Beliau kemudian ditanya: “Apakah kamu menghindari daripada takdir Allah?’’
Umar berkata: “Saya menghindari daripada takdir yang satu ke takdir yang lain.’’
Kejadian wabak penyakit taun ini
merupakan takdir Allah. Maknanya dengan menghindarinya sehingga selamat
daripada penyakit tersebut juga takdir.
Jadi adakah ini bermakna ada takdir baik dan takdir buruk? Tapi kita perlu ingat, kita diberi takdir untuk memilih.
Justeru, jangan hanya ketika terjadi malapetaka kita mengucapkan “itu takdir” tetapi ucaplah juga di saat memperoleh kesenangan.
Takdir tidak sama dengan menerima nasib secara pasrah dalam erti tidak mahu berusaha sama sekali.
Doktrin tentang takdir dalam Islam tidak mengarahkan manusia kepada sikap fatalistik atau menyerah kalah kepada nasib.
Islam sangat menekankan pentingnya usaha dan amal perbuatan.
Dalam al-Quran dinyatakan bahawa manusia
tidak akan mendapat sesuatu selain yang dia usahakan, dan bahawa hasil
usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan dibalas
dengan balasan yang setimpal.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan
bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan
apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usaha itu akan
diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat kelak), kemudian usahanya itu
akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah al-Najm ayat 39-41).
Ayat ini sering dijadikan rujukan bahawa makna takdir harus diletakkan secara seimbang dengan mempertimbangkan peranan ikhtiar.
Dalam teologi Islam diajarkan bahawa Tuhan berkehendak mutlak.
Tuhanlah yang menciptakan alam termasuk manusia. Kerana itu, kebebasan manusia sangat kecil di hadapan Tuhan.
Secara alamiah sesungguhnya manusia telah
memiliki takdir yang tidak boleh diubah. Manusia secara fizik tidak
boleh berbuat lain kecuali mengikuti hukum alam.
Kenapa kita perlu berdoa? Ini kerana salah satu usaha tersebut adalah doa.
Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat.
Siapa tahu salah satu syarat itu adalah
doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu
berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.
Doa adalah hak dan keperluan yang melekat pada diri manusia sejak lahir.
Tuhan adalah pencipta manusia, maka manusia merasa memiliki hak untuk meminta berbagai permintaan kepada penciptanya.
Oleh sebab itu, ada orang yang berdoa dengan penuh pujian dan ucapan terima kasih kepada Allah.
Akan tetapi ada juga orang yang berdoa dengan nada membantah dan berkeluh kesah atas nasibnya yang malang.
Ketika berdoa, hendaklah kita
melakukannya dengan tulus dan pasrah kepada Allah, bukan dengan
mengajari atau mengarahkan Allah kerana Dia Maha Bijaksana dan Maha
Mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-Nya.
Di penghujung doa, kita diajarkan untuk
tetap memuji dan menyucikan Allah, menyedari bahawa apa yang kita anggap
baik belum tentu baik bagi Allah.
Kita diperintahkan untuk tawakkal dan mentaati segala kehendak Allah terhadap doa yang kita panjatkan.
Rasullah pernah bersabda “Semua permintaan (doa) hamba-Nya pasti akan dikabulkan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh“.
Ada empat senario jawapan Tuhan terhadap doa manusia.
- Pertama, doanya dimakbulkan sebagaimana yang diminta dalam masa yang pantas.
- Kedua, doa dikabulkan dalam tempoh yang lama setelah seseorang itu berdoa secara berulang kali untuk memohon doa yang sama.
- Ketiga, doanya dikabulkan namun ditukar dalam bentuk lain yang lebih sesuai dengan kepentingan orang yang berdoa. Salah satunya adalah ditukar daripada malapetaka.
- Keempat, segala kebaikan yang diminta akan dikabulkan dengan berlipat ganda akan tetapi diberikan nanti di akhirat.
- Memandu dengan laju tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sia-sia.
Di sini kita perlu memahami konsep takdir
yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat
yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa
sekutu dengan yang lain-lain.
Memang pada hakikatnya semua yang berlaku
ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak
dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugas
menentukan sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya.
Manakala kehendak-Nya pula bertindak memilih selaras dengan kemahuan hamba-Nya.
Justeru itu balasan baik atau buruk hanya bergantung kepada pilihan hamba sendiri.
Manusia adalah kejadian-Nya yang
terpilih, dijadikan lengkap dengan segala keperluannya sebagai tempat
yang boleh melaksanakan arahan dan menerima perintah-Nya.
Manusia juga diberikan kebebasan memilih ke kanan atau kiri, baik atau buruk dan seterusnya.
Kita juga tahu bahawa iradat (kehendak ketuhanan) itu akan berlaku menurut sunah-Nya yang diletakan di dalam kejadian makhluk-Nya.
Justeru bila Allah hendak menjadikan manusia, Dia mengatakan “jadilah kamu lalu” kamu terus wujud lengkap dengan segala-galanya.
Namun manusia tadi akan dijadikan menurut
proses peraturan-Nya iaitu bermula dari titisan mani kemudian janin,
bayi kepada remaja, dewasa dan seterusnya.
Kita tidak boleh mengatakan segala apa yang berlaku itu tanpa ada sebab dan pendahuluannya.
Dalam hal ini Umar r.a pernah mengatakan “kita lari dari qadar-Nya (yang buruk) kepada qadar-Nya (yang baik dan selamat).” (Hadis riwayat Bukhari).
Demikianlah makna qadar bukan bererti
Allah mencabut kemahuan dan pilihan daripada seseorang, sebab dia
sendiri boleh berusaha mengubah sikap sombong, mementingkan diri serta
cuai ketika memandu.
Kita selalu diperdengarkan firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa (nasib) yang ada pada sesuatu kaum sehingga
mereka sendiri mengubah apa (sikap) yang ada pada diri mereka“. (Surah ar-Raduayat 11).
Beringatlah sebelum terlambat. Jalan raya bukanlah medan menguji keupayaan jentera dan ketangkasan memandu.
Jalan raya adalah suatu kemudahan untuk membolehkan kita bergerak dari satu destinasi ke sebuah destinasi.
Fikirkanlah, jalan raya dan jentera yang
kita kendalikan bukanlah penyebab untuk kita membina pusara di lebuh
raya, ia adalah kaedah bagi membolehkan kita mudah bergerak dan
bermobilisasi dari satu destinasi ke satu destinasi.
Penulis adalah Setiausaha Analisa Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia(YADIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan