Gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan Hulu Langat
dan Kuala Lumpur akan pulih secara berperingkat selepas kerosakan pam
air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat siap dibaiki
sepenuhnya semalam.
Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata LRA Sungai Langat
dapat kembali beroperasi seperti biasa dengan jumlah pengeluaran air
terawat semasa sebanyak 460 juta liter sehari (JLH) kepada pengguna.
"Dengan pengoperasian semula pam tersebut pemulihan bekalan air terawat
di kawasan gangguan adalah secara berperingkat," katanya dalam
kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Alfred, bagi Kuala Lumpur sebanyak 60% kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lepas pulih.
Bagaimanapun, bagi Hulu Langat gangguan bekalan air yang berlaku mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.
"Sebelum kejadian kerosakan pam air mentah di LRA ini juga, kawasan
tersebut yang turut tersenarai sebagai kawasan kritikal masih belum
pulih sepenuhnya," katanya.
Sebanyak 244 kawasan membabitkan 402,333 rumah di Hulu Langat dan Kuala
Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual serta tekanan air
rendah ekoran kerosakan pam air mentah di LRA Sungai Langat sejak Sabtu
lepas.
Bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna, Alfred berkata Syabas akan
menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki dan
menempatkan tangki air statik di beberapa kawasan yang terlibat.
Bagaimanapun, katanya keutamaan bantuan air akan diberikan untuk tujuan
kecemasan seperti kematian dan majlis perkahwinan selain bagi kegunaan
hospital, pusat dialisis serta rumah kebajikan dan para pengguna juga
dinasihati untuk menggunakan air secara berhemah. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan