SHAH ALAM - Tindakan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini adalah satu keputusan yang tidak masuk akal, kata Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abd Hamid.
 
Menurutnya, jumlah itu terlalu besar apatah lagi jumlah pekerja asing berdaftar pada 2014 sudah mencecah 2.1 juta.
 
“Jumlah pekerja asing yang tidak berdaftar pula dianggarkan lebih daripada empat juta. Malah mengikut satu kenyataan Kementerian Sumber Manusia sendiri menyatakan bahawa pekerja asing di Malaysia dianggarkan berjumlah lebih 6.7 juta dan laporan tersebut turut menyatakan keadaan ini sangat membimbangkan.
 
“Ini bermakna jika dasar ini dilaksanakan, jumlah pekerja asing di Malaysia akan mencecah 8.2 juta, atau 26 peratus penduduk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Beliau turut mempersoalkan, dalam sektor apakah pekerja-pekerja asing itu akan ditempatkan?.
 
“Perkara ini perlu diperjelas terlebih dahulu, dan saya gesa menteri bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahas dengan teliti.
 
“Sepatutnya kerajaan menggariskan dasar-dasar untuk membantu industri dan sektor yang memerlukan tenaga kerja dengan beri insentif menaik taraf peralatan dan pendidikan semula pekerja. Bukannya dengan penyelesaian jangkamasa pendek seperti membawa masuk lebih ramai pekerja asing,” katanya.
 
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.
 
Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan kerajaan Bangladesh dan dijangka memeterai perjanjian tidak lama lagi.