NUSAJAYA - Kerajaan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula kod pakaian dalam jabatan dan agensi kerajaan yang kini dianggap sudah tidak lagi relevan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penubuhan jawatankuasa itu perlu dilihat dengan teliti oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi menamatkan pelbagai kontroversi etika pakaian yang dialami orang awam kebelakangan ini.

Lee yang juga aktivis masyarakat berkata kajian itu penting supaya kerajaan dapat mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan sama ada kod pakaian masa kini masih sesuai atau sebaliknya.

"Jika tidak ada kajian, ia berkemungkinan besar boleh menimbulkan banyak lagi kes, sekali gus menjejaskan keharmonian kaum. Kajian perlu dilakukan supaya garis panduan mengenai kod pakaian yang tepat dapat dikeluarkan.

"Jangan serahkan kepada seorang individu sahaja untuk menentukan kod pakaian. Kami mahu bagi kebebasan kepada masyarakat untuk memakai pakaian selagi ia dianggap sesuai," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran projek pembangunan Southern Marina di sini, hari ini.
 
Lee berkata demikian ketika mengulas beberapa kejadian orang awam dihalang dan disuruh menukar pakaian apabila hendak berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan, baru-baru ini.

Beliau berkata, kajian semula itu dilihat penting supaya tidak memberi gambaran kepada kerajaan yang seolah-olah bersifat keterlaluan dalam isu terbabit.

"Lagipun, kod pakaian sedia ada sudah tidak lagi relevan dan kita perlu melakukan kemas kini memandangkan ia tidak diselaraskan dalam kalangan jabatan kerajaan. 

"Ada jabatan membenarkan sesetengah pakaian dan ada juga yang sebaliknya," kata beliau.  - Bernama