‎KUALA PILAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menempatkan seramai 2,000 pegawai dan kakitangannya di 222 kawasan Parlimen seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan harga barangan terutama bulan Ramadan.‎
 
‎Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pemantauan ini meliputi 80 kategori barangan dan perkhidmatan iaitu 5,000 hingga 10,000 barangan dan perkhidmatan yang menjadi pilihan utama pengguna.
 
“Kementerian sedar isu harga sentiasa menjadi keutamaan dan harga barang yang tinggi boleh menjejaskan sara hidup rakyat terutama yang berpendapatan rendah.
 
“Oleh itu, Ops Catut akan terus dijalankan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan caj yang tidak munasabah bagi mengaut keuntungan yang tinggi‎," katanya.