HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2015

PAS-DAP di Selangor saling memerlukan - Tuan Ibrahim

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic



KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengharapkan kemelut yang berlaku dengan DAP tidak akan menjejaskan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

Beliau mengulangi pendirian parti itu untuk terus bersama Pakatan di Selangor meskipun senario sebaliknya berlaku di Pulau Pinang menyaksikan peletakan jawatan beramai-ramai wakil PAS.
 
Tegas Tuan Ibrahim, tahaluf siyasi Pakatan di Selangor akan terus didokong selagi mana ia tidak melanggar al-Quran dan sunnah.
 
"Kita bergabung atas tahaluf ini dengan bersyarat iaitu syarat yang Allah dan Islam tetapkan.
 
"Selagi mana syarat tidak dilanggar, kita tetap bersama Pakatan," katanya kepada Antarapos.
 
Untuk rekod, satu pertemuan antara komponen Pakatan akan diadakan pada hujung minggu bagi membincangkan kedudukan serta masa depan gabungan itu di Selangor.
 
Pertemuan itu akan diadakan dalam satu majlis berbuka puasa Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bersama semua wakil rakyat Parlimen serta dari DUN Pakatan Selangor, ahli majlis dan ketua kampung di kediaman rasminya.
 
Difahamkan pertemuan itu akan dijadikan ruang untuk ketiga-tiga parti berbincang secara tidak rasmi selepas muktamar tahunan PAS awal bulan ini membuat pendirian memutuskan hubungan demgan DAP.
 
Usul dibawa Dewan Ulama PAS diluluskan tanpa bahas dan menyaksikan DAP mengambil langkah serupa dengan menggesa wakil parti Islam itu di Pulau Pinang meletakkan jawatan.
 
Bagaimanapun PAS menegaskan keputusan itu belum dimuktamadkan sehingga ia dibawa ke peringkat Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pusat.
 
Yakin Pakatan Selangor akan terus bersama
 
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berpandangan kesemua komponen Pakatan di Selangor mahu terus mengekalkan hubungan sekaligus meneruskan pentadbirannya buat penggal kedua sejak 2008.
 
"Saya lihat keperluan di Selangor ini semua parti sayang dan semua parti sangat perlu dengan kedudukan kerusi yang hampir seimbang antara ketiga-tiga parti.
 
"Dengan ini realiti semua orang faham, PKR ini biasanya ia sebagai orang tengah pada zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan waktu DAP tarik diri daripada BA (Barisan Alternatif) pun penghubung kita masih PKR," katanya.
 
Justeru beliau berharap PKR akan berperanan memulihkan hubungan PAS-DAP di semua peringkat terutamanya barisan pimpinan tertinggi
 
"Jadi sekarang ini pun peranan itu cuba dimainkan, bagi PAS kita ada hubungan yang mana kita berjumpa dan berbincang.
 
"Walaupun sekarang di peringkat majlis tertinggi tidak adakan mesyuarat tapi di peringkat bawah masih berjalan," katanya.
 
Tuan Ibrahim menambah kemelut berlaku perlu diselesaikan dengan segera tanpa wujudnya sebarang risiko berulang pada masa hadapan.
 
"Negeri-negeri masih berjalan mesyuarat bahkan di peringkat Parlimen masih bersama.
 
"Jadi saya fikir mungkin masalahnya satu dua kes bukan semua dan kita kena berlaku adil dalam perkara ini," katanya.
 
 

Tiada ulasan: