JOHOR BAHRU – Tiga beranak warga Myanmar mampu meraih RM600 hanya beberapa jam meraih simpati di Bazar Ramadan kononnya mahu mengutip derma untuk disalurkan kepada pelarian Rohingnya.

Wanita berumur 47 tahun itu turut mempergunakan dua anaknya masing-masing berusia 10 dan 12 tahun untuk meminta wang daripada orang ramai dengan mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah orang ramai sempena Ramadan.

Tiga sekeluarga itu antara lima yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu operasi membabitkan lokasi berasingan dijalankan di bazar Ramadan sekitar bandaraya ini ternyata mampu mengaut hasil lumayan.

Bertindak hasil maklumat diterima kakitangan JKM membuat pemeriksaan di bazar Ramadan berhampiran Stadium Larkin, Kampung Melayu Majidee dan di Taman Suria, di sini.

Menurut Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata ibu kepada 11 anak itu pada mulanya mendakwa wang diterima itu akan disalurkan kepada pelarian Rohingnya dengan membawa keratan akhbar mengenai kesusahan etnik itu.

“Kami meminta mereka menunjukkan surat kebenaran untuk mengutip derma dan kemudiannya wanita itu mengakui terpaksa berbohong kerana memerlukan wang untuk membeli kelengkapan Aidilfitri untuk keluarganya.

“Ternyata mereka mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah orang ramai lebih-lebih lagi di bulan mulia malah sanggup menipu selain mempergunakan anak sendiri untuk mendapatkan wang,” katanya.
 
Bagi minggu pertama Ramadan tahun ini, JKM berjaya menyelamatkan lima individu dalam operasi berkenaan. 

Manayi berkata, pihaknya akan menjalankan operasi peminta sedekah dan kutu rayau sekitar bandaraya ini sempena bulan puasa.

Untuk rekod tahun lalu, pihaknya berjaya menahan seramai 10 peminta sedekah sepanjang Ramadan.

Bagi lima yang ditahan, kes berkenaan disiasat Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa 1977 manakala bagi kanak-kanak mereka ditahan di bawah Akta Kanak-kanak 2011.

Berdasarkan rekod JKM, wanita itu pernah ditahan kerana mengemis dua tahun lalu.