Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun terdapat seruan untuknya meletak jawatan, beliau tidak perlu berbuat demikian kerana tempoh perkhidmatannya hanya berbaki masa dua minggu lagi.
Namun, kata Annuar meskipun dua minggu beliau akan bertanggungjawab keatas apa yang berlaku pada agensi berkenaan dan tidak akan lari daripada masalah.
“(Ada) seruan letak jawatan. Saya di MARA lagi dua minggu (untuk) tamat tempoh. Saya telah hantar surat dan tempoh saya telah tamat.
“Kalau nak lantik orang lain (dalam MARA) tidak ada masalah. Saya terima setakat seadanya. Saya sudah 'enam siri', umur sudah 59 tahun.
“Cuma jangan letak jawatan kerana lari daripada tanggungjawab sebab itu bukan Annuar Musa,” katanya dalam program bual bicara di sebuah stesen televisyen sebentar tadi.
Sebelum ini, MARA didakwa terlebih bayar dalam pembelian blok apartmen di Melbourne.
Akhbar itu turut mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya" terlebih bayar sebanyak AS$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.
Ada ruang nak jelaskan
Sementara itu, Annuar turut mengulas mengenai portal berita yang dikatakan menyalah tafsir kenyataannya dalam sidang media berhubung kebenaran diberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembelian apartmen itu.
Katanya, konteks soalan yang diberikan dan jawapan yang ditulis kepada umum adalah tidak tepat.
“Dia dalam sidang media saya, dia potong (kenyataan saya). Soalan dia adalah Majlis Ekonomi luluskan, ya.. bukan maksud perdana menteri beri kelulusan.
“Tapi cubaan (tanya soalan itu) berkali-kali, sekarang kita ada ruang nak jelaskan pada rakyat. Kementerian kewangan tidak luluskan tetapi Majlis Ekonomi bincang dan luluskan,” katanya.
Tambahnya lagi, media tidak seperti dahulu ada juga pihak yang mempunyai niat tertentu.
“Dua puluh kepalsuan datang dulu, kebenaran akan datang kemudian. Saya berpegang pada prinsip yang benar tetap benar dan kita kena beritahu kebenaran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan