KUALA LUMPUR-  Gerakan Harapan Baharu yang terdiri daripada mereka yang gagal dalam pemilihan Muktamar PAS lalu bakal memulakan langkah dari Selatan tanah air.

Walaupun belum memuktamadkan penubuhan sebuah parti politik baru, Penolong Setiausahanya, Suhaizan Kayat berkata, ia akan mensasarkan negeri Johor sebagai tapak pertama untuk meraih sokongan rakyat.

Malah katanya, Gerakan Harapan Baharu akan lebih menumpukan perhatian bagi mencari dokongan dari kumpulan Melayu pertengahan dan juga bukan Muslim.

“Isu tubuh parti baru itu kita belum putuskan lagi, masih dalam perbincangan. Tetapi usaha untuk menubuhkan itu memang ada.

“Kita melihat apa yang ada pada hari ini, maknanya bila ada sedikit masalah dalam PAS dan kita rasa ada ruang yang perlu dipenuhi, jadi kita nak mengisi ruang kekosongan yang ada,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Gerakan Harapan Baru sebelum ini menggelarkan diri mereka sebagai G18 yang mana anggota kumpulan ini terdiri daripada mereka yang gagal dalam pemilihan parti PAS.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak G18 yang kini merupakan nadi kepada Gerakan Harapan Baharu, Dr Dzulkefly Ahmad, beliau menafikan bahawa kumpulan ahli PAS yang progresif ini akan membentuk sebuah parti politik dalam masa terdekat.

Jelasnya, kajian melibatkan keinginan dan suara rakyat sedang dijalankan bagi memastikan tindakan mereka selari dengan apa yang diperlukan mereka.

“Kita bergerak dengan menggunakan kempen ‘Harapan Baharu’ bagi mendapatkan maklum balas dari rakyat.

“Kami nak tahu apa yang mereka inginkan, mereka perlukan, dan sekiranya apa yang mereka inginkan adalah satu parti politik baru, maka kami akan respon kepada keperluan itu,” jelasnya kepada The Rakyat Post.

Beliau dalam masa yang sama menepis dakwaan sesetengah pihak yang mana melihat penubuhan G18 yang sebelum ini adalah ekoran kekecewaan kegagalan dalam pemilihan parti.

Menurutnya, apa yang dilaksanakan kumpulan progresif ini adalah sesuatu yang profesional.

“Kami akan bergerak berdasarkan bukti dan fakta yang dikutip, kami nak jadi profesional, tak mahu syok sendiri. Kita bukannya buat begini (tubuhkan gerakan) kerana kita kalah dan kecewa, bukan sebab itu.

“Misi dan matlamat kami sekarang adalah untuk tahu apa yang rakyat mahu, kami nak memahami denyut nadi rakyat,” tambah beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad, beliau memberi masa buat PAS membuktikan keberkesanan dan kemampuan kepimpinan parti yang baru dilantik ini.

Dan sekiranya barisan kepimpinan baru PAS yang kini didominasi golongan ulama gagal dalam melaksanakan keperluan dan matlamat parti, maka penubuhan parti baru sebagai alternatif kepada PAS dilihat sebagai perlu.

“Sekiranya kepimpinan PAS yang baru gagal untuk menunjukkan prestasi yang baik, maka kami tiada pilihan untuk mewujudkan parti baru.

“(Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah) Nik Amar minta 100 hari untuk buktikan kepimpinan, kalau gagal kami akan tubuhkan,” katanya sambil menjelaskan perkara yang perlu dipenuhi kepimpinan baru antaranya ialah membuktikan PAS sebagai parti untuk semua.

Menurut beliau, PAS perlu lebih terbuka dan juga bekerjasama dengan pihak yang menentang kezaliman bagi memastikan parti itu akan terus kekal relevan.

Bagaimanapun, Khalid yang juga tergolong dalam kumpulan G18 itu tidak menolak akan meneruskan ideologi yang sama seperti PAS iaitu berteraskan Islam.

Jelasnya, pihak beliau juga tidak menolak akan bekerjasama dengan PAS sekiranya tertubuh parti baru.

“Kerjasama itu mungkin, tetapi kami tidak akan bergaduh dengan PAS. Kerjasama bersama PKR dan DAP itu juga mungkin, lihat kepada keperluan kerjasama untuk menumbangkan UMNO dan BN,” katanya.