KUALA LUMPUR- Menunggu selama 46 hari untuk menerima gaji Ogos berikutan pembayaran awal gaji pada bulan Julai bagi membolehkan penjawat awam membuat persiapan musim perayaan boleh mengundang ‘bencana kewangan’ jika mereka terlalu ghairah berbelanja untuk menyambut Aidilfitri.


Penjawat awam yang menerima gaji dan bonus RM500 pada 25 Jun lalu, dijadualkan menerima gaji awal untuk Julai iaitu pada 9 haribulan, manakala gaji berikutnya pula akan dibayar pada 25 Ogos.

Seorang perunding kewangan dari Great Eastern Takaful Ahmad Humaizi Mat Noor berkata penjawat awam perlu bijak berbelanja semasa Hari Raya.

Mereka perlu menetapkan dalam minda masing-masing bahawa gaji yang dibayar pada 9 Julai itu seharusnya untuk digunakan bagi perbelanjaan bulan Ogos.

“Harus diberi perhatian serius kerana kehidupan anda bergantung kepada gaji tersebut selama 46 hari sebelum akaun kembali terisi dengan gaji bulan berikutnya,” katanya dipetik daripada laporan agensi berita Bernama.

Ahmad Humaizi turut mengemukakan beberapa saranan kepada penjawat awam dalam merancang perbelanjaan.

Katanya, bajet untuk keperluan Aidilfitri, yang dijangka disambut pada 17 Julai, harus dibuat berdasarkan gaji yang diterima pada 25 Jun sekali bersama bonus RM500 yang diberikan kerajaan.

Pendapatan yang diterima pada 9 Julai nanti tidak wajar “diusik”, katanya.

Katanya lagi, penjawat awam juga sewajarnya terus membuat semua bayaran perbelanjaan rutin bulanan bagi Ogos seperti biasa merangkumi ansuran rumah, kereta, yuran taska anak, kad kredit dan bil-bil utiliti kerana realitinya gaji yang diterima pada 9 Julai itu sebenarnya adalah untuk bulan Ogos.

Satu lagi saranan beliau ialah sekiranya seseorang itu tidak dapat menahan nafsu melihat baki simpanan dalam bank berlebihan daripada biasa, sebaiknya wang itu dipindahkan ke akaun lain yang tidak mempunyai kad ATM seperti Tabung Haji atau Amanah Simpanan Bumiputera (ASB).

“Apabila cukup kitaran gaji seperti biasa, bolehlah anda mengeluarkan wang ini seperti biasa untuk kegunaan pada bulan Ogos,” katanya.

Ahmad Humaizi turut menyarankan orang ramai mengelak daripada mengunjungi pasaraya pada saat-saat akhir bagi mengelak fenomena membeli barangan yang tidak diperlukan kerana rasa teruja dan kegembiraan untuk beraya seringkali mengatasi logik kebiasaan.

“Walaupun raya setahun sekali, takkan kerana Syawal kita bakal merana dari segi kewangan pada bulan-bulan seterusnya. Biarlah bersederhana,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam Siti Hanom Hamdan, 34, berkata beliau akan mengasingkan terlebih dahulu semua komitmen bulanan seperti sewa rumah, perbelanjaan harian dan kiriman untuk ibunya sebaik sahaja menerima gaji pada Julai depan.

“Saya juga bercadang pindahkan sebahagian besar daripada gaji awal itu ke akaun lain,” kata Penolong Penerbit Rancangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.

Siti Nurfauzani Idrus, 33, yang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Jabatan Imigresen Malaysia Sabah juga merancang memindahkan wang gaji berkenaan ke akaun ASB, jika perlu.