HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2015

Pakar IT dibayar RM15 juta untuk tutup mulut skandal 1MDB

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Seorang eksekutif IT Switzerland yang ditahan pihak berkuasa Thailand atas dakwaan cuba memeras ugut majikannya, PetroSaudi International berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dikatakan menerima bayaran RM15 juta sebagai ganjaran beliau meletak jawatan.

Media Thailand memetik polis negara itu sebagai berkata, Xavier Andre Justo, 49, menafikan beliau menuntut hampir RM10 juta lagi bagi tujuan itu.

Isnin lalu, Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thai menahan Justo di rumahnya di Koh Samui dan merampas komputer serta cakera keras, menurut The Bangkok Post.

Justo dikatakan menuntut 90 juta baht (RM9.9 juta) daripada PetroSaudi bagi menutup mulutnya daripada mendedahkan maklumat sulit kepada pesaing, menurut Akaradech Pimonsri, pemangku komander Bahagian Pencegahan Jenayah.

Bagaimanapun, Justo menafikan tuduhan itu.

petrosaudi-1mdbJusto bekerja untuk PetroSaudi tetapi dibayar 140 juta baht (RM15 juta) supaya meninggalkan syarikat itu, selepas beliau didapati melanggar peraturan syarikat.

Syarikat tenaga Arab Saudi itu merupakan rakan kongsi 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan yang sedang dilanda kontroversi dengan hutang mencecah sehingga RM42 bilion dan kini menjalani penyusunan semula.

The Bangkok Post berkata polis Thai percaya Justo membocorkan maklumat mengenai PetroSaudi kepada “laman web berita di UK”, yang dikenal pasti sebagai portal Sarawak Report yang berpangkalan di London.

Memetik sumber Malaysia, akhbar itu berkata maklumat dan laporan yang disiarkan laman web itu adalah “sebahagian plot untuk menjatuhkan” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Antara laporan itu ada menyebut urusniaga PetroSaudi dengan 1MDB, yang dimulakan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low pada September 2009.

Dalam urusniaga itu, Jho Low didakwa menyeleweng AS$700 juta daripada kerjasama berkenaan dan wang itu dipindahkan ke satu syarikat di bawah kawalannya.

Menurut The Bangkok Post, PetroSaudi menafikan laporan berkenaan manakala 1MDB nafi ada kaitan dengan Low. – The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: