HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2015

G-18: Pemimpin serpihan PAS 'belum duduk mahu berlunjur'

 Oleh Zainal Salleh

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Mungkinkah nasihat Presiden PAS pada ahli parti itu supaya berhati-hati dalam sifir politik mahu menubuhkan wadah baru kerana sejarah membuktikan usaha seumpama itu biasanya gagal, akan jadi satu kenyataan?
 
Kenyataan terbuka Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang membayangkan kegusarannya bahawa ada ahli PAS yang mula kehilangan akidah perjuangan dan cara amalan perjuangan mereka.  Mesej itu ditujukan pada semua anggota PAS.
 
Bagaimanapun ada kalangan yang merancang menubuhkan parti baru untuk mengambil alih tempat PAS dalam Pakatan Rakyat memberikan reaksi sinis dan menyindir bahawasanya Hadi sebenarnya bimbang ramai ahli PAS akan berhijrah keluar. 
 
Namun dalam tiga hari selepas memberikan komen yang agak “angkuh” terhadap ‘orang tua’ PAS itu, Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi sendiri diusik kumpulan politik yang juga mempunyai cita-cita sama dengan PasMa dengan cara yang agak meremehkan.  
 
Ini memaksa beliau menegur pemimpin G-18 yang terdiri daripada pemimpin serpihan PAS yang tewas dalam pemilihan pimpinan parti itu awal bulan ini supaya tidak angkuh dan taksub dengan kehebatan diri sendiri.
 
G-18 disindir taksub dengan 'kehebatan' diri sendiri
 
Phahrolrazi Zawawi berkata, sikap buruk itulah di antara punca kekalahan golongan yang berasa diri mereka progresif dan profesional kepada cabaran ustaz-ustaz muda dalam muktamar lalu. 
 
“Kalau beginilah sikap mereka, patutlah mereka kalah kepada ustaz-ustaz muda dengan ustaz pondok dalam Pemilihan PAS.
 
“Mereka mengambil remeh tentang keupayaan orang lain sebab itu mereka kalah dengan kumpulan yang tidak berpengalaman.
 
“Tengoklah natijahnya mereka dah kalah. Mereka kalah sedangkan kumpulan ini orang hebat.
 
“Bagaimana mereka kata cukup berpengaruh tetapi tetap kalah? Sepatutnya mereka mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku,” katanya.
 
Phahrolrazi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin yang mendakwa PasMa yang beliau pimpin itu tidak mempunyai daya tarikan yang cukup dengan akar umbi untuk memimpin sebuah parti baru.
 
Baik PasMa mahupun kumpulan G-18 masing-masing sedang mencongak menubuhkan sebuah parti politik baru bagi menggantikan tempat PAS dalam Pakatan Rakyat. 
 
PasMa ditubuhkan tahun lalu sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bermatlamat khusus merapatkan hubungan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat yang dilihat berkecamuk dalam menangani krisis Menteri Besar Selangor. 
 
Bagaimanapun apabila krisis itu reda dengan pelantikan Azmin Ali dari PKR ke jawatan itu, PasMa menggandakan keterlibatannya dalam politik kerana kurang disenangi pimpinan PAS yang menganggap ia “parti dalam parti” PAS. 
 
PasMa terus berbaik dengan kerabat Pakatan Rakyat dan sering terbabit dalam siri penerangan mengenai perjuangannya dalam majlis-majlis makan malam bersama PKR dan DAP.
 
Apabila makin jelas di mata rakyat PasMa mahu mengganti tempat PAS dalam Pakatan itu, NGO itu mengumumkan selepas muktamar PAS awal Jun lalu  bahawa ia akan menaja penubuhan sebuah parti politik baru selepas Aidilfitri.
 
Hanipa teruja berdiri sama tinggi dengan Kit Siang dan Azizah?
 
Walaupun hampir kesemua ahli PasMa masih menjadi ahli PAS, kebanyakan mereka adalah ahli-ahli biasa dan veteran PAS yang rimas serta curiga dengan halatuju pimpinan ulama PAS.
 
Namun mungkin ia tidak membariskan ramai ikon politik sebagai ahli, kepemimpinan PasMa dilihat sebagai kurang karisma oleh Hanipa Maidin bagi membolehkannya muncul sebagai sebuah gerakan politik berkesan. 
 
Hanipa ialah salah seorang ahli jawatankuasa penaja G-18 dari golongan ‘liberal’ PAS yang tewas dalam pemilihan dalam muktamar lalu.
 
Kumpulan yang ditubuhkan di Muar, Johor seraya kempen “Jasamu dikenang” senggang 12 hari selepas tumpas pada Geng Ustaz terus mempamerkan keakraban mereka dengan pimpinan PKR dan DAP.
 
Paling nyata apabila majlis berbuka puasa dengan pemimpin-pemimpin kanan PKR dan DAP diadakan di rumah bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, mendapat publisiti agak meluas.
 
Pada congakan mereka kehadiran penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, adalah tanda ‘restu’ kedua-dua orang kuat Pakatan Rakyat itu pada idea G-18 menubuhkan parti politik baru.
 
Mungkin keseronokan “berdiri sama tinggi” dengan Kit Siang dan Wan Azizah merangsang Hanipa untuk bersikap kritikal terhadap PasMa yang dianggotai oleh ‘orang-orang biasa dan marhaen’ dalam PAS.
 
Pemimpin-pemimpin serpihan PAS itu mengumumkan penubuhan Kumpulan 18 atau G-18 dengan cita-cita untuk menjadi ‘wadah politik yang inklusif bagi rakyat Malaysia’tidak sampai tiga minggu selepas kalah dalam muktamar PAS.
 
Bagaimanapun jika kritikan Hanipa itu memang bertolak daripada suara hati G-18, maka ia boleh dianggap satu isyarat jelas bahawa konsep inklusif yang hendak diperjuangkan G-18 tidak jujur kerana bak kata Phahrolrazi mereka ‘memandang rendah’ kemampuan orang lain.
 
Sudah tentu ini adalah antara jerangkap samar dalam pergerakan jemaah Islamiah. Masalah membangga diri atau I’jaab bin nafsi ini adalah antara punca kegagalan banyak harakah Islamiah. 
 
Watak sebenar G-18 membayangkan bahawa mereka agak terburu-buru (isti’jaal) , bertemankan orang yang jangkiti sikap wujub (DAP dan PKR) dan terlalu berlebihan dalam memberi penghormatan (pada konsep Pakatan Rakyat).
 
Ini semua adalah resipi yang mungkin mengakibatkan karamnya wadah baru yang digembar-gemburkan akan menumbangkan PAS.  


Tiada ulasan: