HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2015

1MDB tolak spekulasi boikot PAC

MALAYSIAKINI


 


Firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menolak spekulasi untuk memboikot pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) jika pengkritik tegar tidak dikeluarkan dari jawatankuasa itu.

Mengulas kenyataan tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang dan MP Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini, syarikat pelaburan itu mengulangi komitmen bahawa pihaknya akan hadir untuk siasatan jawatankuasa itu.

"1MDB mengulangi komitmen kami, seperti yang diumumkan pada 25 Mei untuk menghadiri pendengaran PAC.

"Adalah jelas bahawa spekulasi hari ini oleh kedua-dua individu adalah untuk mengalihkan perhatian daripada kritikan hebat Pua, seorang anggota PAC, baru-baru ini berhubung banyaj kenyataan beliau yang dilihat sebagai menghukum 1MDB sekalipun proses PAC masih belum selesai.

"1MDB sangat yakin dalam setiap proses PAC dan percaya ahli jawatankuasa itu akan menjalankan peranan mereka dengan cara yang adil dan profesional," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ketua pengarah eksekutif Shahrol Halim dijadualkan memberi keterangan kepada PAC pada 4 Ogos manakala presidennya Arul Kanda akan hadir menghadap jawatankuasa itu pada hari berikutnya.

Lim hari ini membuat spekulasi bahawa kedua-duanya mungkin memboikot pendengaran, jika Pua tidak dikeluarkan dari PAC kerana didakwa berat sebelah.

Bagaimanapun, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad menyatakan dengan jelas bahawa Pua akan kekal dalam jawatankuasa itu dan mengarahkan pengkritik supaya tidak campurtangan.


Tiada ulasan: