KUALA LUMPUR-  Pendedahan akhbar Australia The Age mengenai apa yang didakwanya penipuan dalam urus niaga pembelian hartanah di Melbourne oleh sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus digunakan sebagai peluang “rezeki terpijak” untuk pemimpin tertentu parti pembangkang untuk mencalarkan imej agensi kerajaan Pusat itu serta parti Barisan Nasional (BN) yang menguasai Putrajaya.

Setakat tengah malam ini, sekurang-kurangnya dua pihak berusaha untuk menarik perhatian media untuk membuat liputan pada Isnin.

Pada sebelah pagi Ahli Parlimen PKR-Pandan, Rafizi Ramli berkata beliau akan mengadakan satu sidang media kerana telah memperolehi satu dokumen dalaman MARA.

Rafizi yang membuat jemputan atas kapasiti Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) mendakwa dokumen dalam tangan beliau itu memberi banyak maklumat penting mengenai skandal MARA melibatkan pembelian beberapa hartanah di Australia.

“Maklumat-maklumat ini akan memberi gambaran penting keterlibatan MARA dalam urusniaga-urusniaga ini.

“Saya akan mengadakan satu sidang media (dalam beberapa siri sidang media) mengenai perkara ini,” katanya.

Sidang media beliau yang juga Naib Presiden PKR akan diadakan pada jam 10.30 pagi di pejabat badan bukan kerajaan (NGO) itu di 35-2 The Trillium, Jalan Tasik Utama 6, Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

NOW yang sebelum dalang utama di sebalik pendedahan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana National Feedlot Corporation (NFC) yang kini sedang dibicarakan di mahkamah agak jarang memanggil sidang media di pejabatnya itu.

Terdahulu pada 24 Jun lalu, NOW menerusi satu kenyataan mendakwa semakan pihanya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) mendapati pembelian hartanah oleh MARA Inc itu dipercayai membabitkan sebuah syarikat, Thrushcross Land Holding Ltd.

Siasatan yang dijalankan NOW terhadap Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat dalam transaksi berkenaan pula mengesahkan syarikat itu telah didaftarkan di Kepulauan British Virgin.

Thrushcross dipercayai dikawal oleh MARA melalui anak syarikatnya iaitu MARA Inc, dakwa NOW dalam kenyataan yang dikeluarkan atas nama Rafizi dan seorang lagi Pengarahnya, Akmal Nasir.

Paparan muka depan akhbar Australia pada 23 Jun lalu.
Paparan muka depan laporan eksklusif akhbar Australia The Age pada 23 Jun lalu.

Pada sebelah petang pula, sebuah lagi parti pembangkang, PAS memaklumkan kepada media mahu menyerahkan memorandum menuntut siasatan telus oleh MARA terhadap dakwaan yang mengaitkan anak syarikatnya MARA Inc dengan penipuan urus niaga pembelian hartanah pada harga lebih tinggi dari nilai pasaran sebenar di Melbourne itu.

Rombongan PAS yang membawa memorandum berkenaan ke Ibu Pejabat MARA di Jalan Raja Laut di ibu negara akan diketuai oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Mahfoz Mohammad.

Turut akan mengiringi beliau dikatakan Ketua Penerangan DUPP, Khairuddin Takiri Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS), Rizuan Rahmat serta Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Ajk Dewan Ulamak Pas Selangor.

Bacaan memorandum dan sidang media selepas memorandum diserahkan pada kira-kira jam 2.30 petang akan dibuat oleh Dr Mahfoz di perkarangan Ibu Pejabat MARA.

Laporan The Age pada 23 Jun lalu mendakwa pembelian bangunan Dudley International House yang sepatutnya pada harga pasaran kira-kira RM51.5 juta telah dibeli pada harga RM65.4 juta yang mana lebihan RM13.8 juta daripada nilai sebenar itu didakwa telah diselewengkan untuk membayar rasuah di Malaysia.

Dudley International House merupakan bangunan lima tingkat asrama penginapan pelajar yang dibeli oleh MARA bagi menempatkan 115 pelajar tajaan biasiswanya di Monash University.