HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2015

Isu air: Tak adil minta Azmin letak jawatan

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM- Tidak adil bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berundur jika gagal menyelesaikan penstrukturan semula air di negeri itu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata ketika pentadbiran Abdul Khalid dulu, beliau dilihat lebih memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan berbanding Selangor berhubung isu itu.

Katanya, perjanjian yang dimeterai terdahulu juga banyak memihak kepada Kerajaan Persekutuan.
charles parlimen 01
“Pandangan Abdul Khalid adalah tidak bertanggungjawab kerana ketika beliau menjadi Menteri Besar, Kerajaan Negeri sebenarnya banyak hilang kuasa pengurusan air di Selangor.

“Kerajaan Negeri hanya ada tanggungjawab mengarahkan pembangunan kepada pemaju membina Loji Rawatan Air Langat 2 dan memberi tanah, tetapi tiada kuasa menentukan teknologi mana yang boleh digunakan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Abdul Khalid yang juga mantan Menteri Besar Selangor mengulangi gesaannya supaya Mohamed Azmin segera menyelesaikan penstrukturan semula air di negeri itu atau berundur daripada jawatannya.

Beliau mendakwa, Mohamed Azmin sengaja melambatkan proses pengambilalihan empat syarikat konsesi air dan gagal mengambil pelan tindakan terperinci menyelesaikan isu itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas Mohamed Azmin yang mengatakan Abdul Khalid gagal menyelesaikan isu terbabit selama enam tahun berkhidmat sebagai Menteri Besar.-NFN-


Tiada ulasan: