THE RAKYAT POST
Ramai yang melahirkan
rasa kecewa dan kekesalan mereka terhadap pengharaman telemovie 'Pesan
Dari Tuhan' di saat-saat akhir yang sepatutnya ditayangkan malam ini di
TV3. - Foto Instagram Erma Fatima (@ermafatima)
KUALA LUMPUR- Telemovie, Pesan Dari Tuhan arahan Erma Fatima yang sepatutunya ditayangkan pukul 9 malam ini menerusi slot Cereka Ahad dikhabarkan telah diharamkan tayangannya.
Ini disahkan sendiri oleh Erma menerusi
perkongsian status berupa video pendek yang dimuat naik menerusi laman
Instagram rasminya lebih kurang 14 jam yang lalu.
Pengarah itu memuat naik status yang
berbunyi (dengan olahan ejaan yang betul tanpa menukar struktur ayat
Erma): “Jangan sesekali kau tangiskan sahabatku. Perjuangan kita belum
selesai. Pesan Dari Tuhan takkan mati di sini.
“Kerana kasih kita pada agama dan bangsa juga bukan kita di sini titik akhirnya. Aku juga tidak takut berkata benar kerana Pesan Dari Tuhan,
aku harus bertanggungjawab pada setiap karya aku walau kebenaran itu
salah buat mereka! Alhamdulillah,” demikian tulis Erma dalam laman
sosialnya itu yang kemudiannya mendapat perhatian ramai apabila sebanyak
182 komen dicatatkan.
Walau
bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan komen Erma dan wakil daripada TV3
berhubung pengharaman ini gagal apabila Erma tidak memberikan balasan
di WhatsApp manakala wakil stesen swasta itu pula enggan mengulas
lanjut.
Sememangnya pengharaman Pesan Dari Tuhan
adalah sesuatu yang sangat mengejutkan dan mengecewakan ramai pihak
kerana sejak sedutan drama ini dipertontonkan kepada pihak media pada
majlis pengumuman program sempena Ramadan di TV3 tempoh hari, ia telah
mengundang reaksi yang sangat positif.
Lebih-lebih lagi, ia dibintangi ramai
pelakon handalan yang merupakan nama besar dalam industri hiburan
tempatan seperti Remy Ishak, Azhan Rani, Ellie Suriaty Omar dan Izreen
Azminda yang membuatkan drama ini sebagai sebuah tontonan wajib sempena
Ramadan ini.
Bukan itu sahaja, Pesan Dari Tuhan
yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra yang juga milik Erma itu turut
dikhabarkan akan menjadi salah sebuah drama yang berpotensi besar untuk
dicalonkan dan seterusnya meraih kemenangan besar pada Anugerah Skrin yang akan datang.
Daripada sumber yang diperolehi oleh The Rakyat Post, pengharaman Pesan Dari Tuhan
di saat-saat akhir itu adalah dikatakan kerana ada beberapa babak dalam
telemovie tersebut dikatakan secara terang-terangan menyindir pihak
kerajaan dengan masalah politik yang berlaku ketika ini.
Walhal, kata Erma sewaktu ditemui dalam
satu pertemuan ringkas tidak berapa lama dahulu, niatnya hanya satu
iaitu mahu memberikan perspektif baharu kepada masyarakat tentang
realiti sebenar yang berlaku dalam kehidupan orang Melayu beragama Islam
hari ini dengan mahu menyedarkan mereka.
Disebabkan itu jugalah, ia telah menjadi perdebatan hangat di laman Twitter
apabila rata-rata lantang bersuara melahirkan kekesalan mereka dan mahu
drama itu diteruskan tayangannya kerana sedar ia adalah sebuah drama
yang berkualiti tinggi.
Secara ringkasnya, Pesan Dari Tuhan
mengisahkan bagaimana kehidupan masyarakat di sebuah kampung yang
kemudiannya dilanda musibah apabila kawasan mereka dilanda banjir yang
sangat besar sehingga melumpuhkan segala-galanya dan meragut nyawa anak
mereka sendiri.
Selepas musibah itu, semuanya kembali
berubah dan perpaduan sesama orang kampung mula kembali terjalin dan
mewujudkan suasana yang berbeza berbanding sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan