KUALA LUMPUR - “Dia sanggup tetapi adakah dia mempunyai cukup sokongan berdasarkan peraturan untuk dilantik sebagai Menteri Besar?”

Demikian persoalan yang ditanyakan oleh Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak ketika diminta mengulas mengenai kesanggupan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menawarkan diri untuk menjadi Menteri Besar Selangor semula.

Memetik laporan The Malay Mail semalam, Khalid menawarkan diri untuk menjadi Menteri Besar semula bagi menyelesaikan kemelut kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor di antara DAP dan PAS.

Mohamed Mustafa berkata kesanggupan Khalid itu wajar dipuji tetapi aspek yang lebih besar ialah beliau perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan (ADUN) di Selangor.

“Belum tentu ada sokongan kukuh jika tidak dia tidak akan tersingkir tempoh hari, saya andaikan dalam situsi sekarang dia perlu sokongan daripada ADUN UMNO yang memiliki 12 kerusi, PAS 15 kerusi dan adakah mereka ini setuju untuk Khalid menjadi Menteri Besar?” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, DAP memenangi 15 kerusi di Selangor angka yang sama kepada PAS dan 13 kerusi dimenangi PKR dalam membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Pada Muktamar Tahunan PAS ke-61, awal bulan ini, parti Islam itu telah membentangkan usul memutuskan kerjasama dengan DAP, namun usul itu masih belum diluluskan Majlis Syura Ulama.

Ia berikutan pendirian DAP yang mahu memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana tidak bersetuju dengan keputusan PAS membentangkan usul hudud pada April lalu.

Selepas membawa usul berkenaan pada Muktamar Tahunan PAS, DAP mengumumkan PR sudah tidak wujud, kerana PAS mahu memutuskan kerjasama dengan parti itu

Menurut Mohamed Mustafa yang juga Pensyarah Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), walaupun mungkin Khalid adalah di antara calon yang terbaik yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar, namun sokongan amat diperlukan daripada PAS dan UMNO bagi mendapatkan kelebihan majoriti di DUN Selangor.

“Adakah PAS mahu Khalid dilantik menjadi Menteri Besar? Merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang, parti itu masih kekal dalam Pakatan Rakyat dan jumlah ADUN di Selangor sendiri cukup menjamin kedudukan PAS,

“Saya akui memang terdapat usaha-usaha PAS agar Menteri Besar sekarang, Azmin Ali kekal di Selangor dengan kerjasama dengan PAS,” katanya.

Jelas beliau lagi, peluang Tan Sri Khalid untuk menjadi menteri besar semula terbuka luas sekiranya PAS secara rasmi keluar daripada Pakatan Rakyat, majoriti ADUN Selangor bersetuju dengan keputusan itu namun bergantung kepada sokongan UMNO.