HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2015

Langkah Khairul bantutkan politik baru Umno



Oleh Sheikh Omar Ali


Keputusan melepaskan semua jawatannya dalam Umno oleh penganjur forum Nothing2Hide - Datuk Khairul Anwar Rahmat merupakan suatu berita yang agak mendukacitakan.

Khairul Anwar, pada hemat saya, merupakan sosok muda Umno progresif yang lebih sederhana dan moderat dalam beberapa contoh pembawaannya yang pernah saya terlibat secara langsung.

Antaranya ialah pengalaman semasa insiden 'mana surat?' di bazar Ramadhan Kluang setahun yang lalu melibatkan saya, ahli Parlimen Kluang - Liew Chin Tong dan ADUN Mengkibol - Tan Hong Pin.

Sehari selepas peristiwa tersebut, Khairul Anwar telah menghubungi saya dan memohon maaf atas apa yang telah berlaku.

Dakwanya, beliau tidak terlibat secara langsung dalam pengarahan menghalang rombongan kami daripada menziarahi bazar Ramadan.

Beliau seterusnya mengemukakan cadangan agar rombongan kami sekali lagi menziarahi bazar tersebut bersekali dengan rombongan beliau pada satu tarikh lain yang dipersetujui. Program yang dirancang berjalan lancar.

Saya masih ingat, semasa perbualan kami menerusi telefon, beliau menegaskan bahawa beliau amat menekankan pendekatan politik baru.

Budaya ugut dan menghalang rombongan kami ke bazar Ramadan bukanlah menepati citarasa politik baru yang beliau harapkan.

Apabila nama beliau sekali lagi muncul dalam media sebagai penganjur forum Noting2Hide yang bakal menampilkan sesi soal jawab antara Perdana Menteri - Datuk Seri Najib Abdul Razak dan mantan PM - Tun Mahathir Mohamad bersama-sama penglibatan NGO dan rakyat, saya dapat merasakan keberanian beliau memecahkan taboo politik Umno yang selama ini menutup pintu-pintu diskusi/wacana umum melibatkan isu-isu semasa yang sedang gamat berlegar dalam negara.

Walaupun saya yakin beliau pastinya memiliki 'back up plan' atas tindakan melepaskan semua jawatan dalam Umno, namun langkah beliau itu sedikit sebanyak membantutkan harapan terhadap politik baru yang diidamkan.

SHEIKH OMAR ALI Pembantu kepada ahli Parlimen Kluang merangkap Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong. 

Tiada ulasan: