KOTA BHARU-Tidak ada lagi program Ihya Ramadan atau majlis berbuka puasa secara besar-besaran dianjur di peringkat Parlimen Pengkalan Chepa oleh UMNO Bahagian berkenaan tahun ini kerana pendekatan berbeza diambil bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat diraikan menggunakan peruntukan yang ada.


Ketuanya, Zaluzi Sulaiman berkata, UMNO Bahagian Pengkalan Chepa menyediakan peruntukan sebanyak RM79,000 bagi menjayakan majlis Ihya Ramadan dan berbuka puasa di peringkat di Parlimen itu kali ini.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM48,000 diagihkan kepada 60 mukim dengan setiap mukim masing-masing menerima RM800 untuk mengadakan program berkenaan.

“Ia merupakan salah satu cara dan strategi UMNO untuk mendekati masyarakat supaya mereka merasai kehadiran UMNO di peringkat akar umbi.

“Ini kerana jika kita adakan majlis besar-besaran (di peringkat Parlimen), ia hanya dihadiri pemimpin tempatan sahaja.

“Program itu akan diserahkan kepada pemimpin masyarakat setiap mukim sama ada mereka mahu buat program di masjid, madrasah atau rumah mereka sendiri asalkan penduduk setempat selesa untuk menghadiri program itu,” Zaluzi menjelaskan.

Selain mukim, beliau berkata, pihaknya turut memberi sumbangan sempena Ihya Ramadan kepada 31 masjid dalam kawasan Parlimen itu.

Ia membabitkan peruntukan sebanyak RM31,000, dengan setiap masjid masiing-masing menerima sumbangan RM1,000 yang disalurkan kepada imam masjid.

“Perkara-perkara seperti ini yang akan kita terapkan dalam kepimpinan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa sekarang supaya masyarakat di parlimen ini lebih merasai kehadiran UMNO.

“Kita juga mahu menafikan tohmahan yang dilemparkan kepada UMNO bahawa kita cuba melarikan diri daripada program keagamaan.

“Kita sebenarnya mencintai agama dan kita akan bersama-sama masyarakat dalam mengimarahkan masjid supaya syiar Islam berkembang,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Perdana Resort pada Jumaat.

Zaluzi turut berkata berdasarkan program yang telah dilangsungkan setakat ini sambutan yang diterima adalah memberangsangkan dan masyarakat didapati tidak lagi segan untuk bertemu pemimpin.

“Alhamdulillah dengan kaedah yang kita buat melalui imam masjid, musalla dan madrasah kita dapat dekati mereka.

“Harapan saya agar UMNO akan teruskan usaha ini tidak hanya pada bulan Ramadan sahaja tetapi bulan lain supaya ukhwah dengan penduduk dapat ditingkatkan,” katanya.