PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering sudah bermula dan dijangka berterusan sehingga hujung Ogos ini.
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi,
Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata negara kita sedang melalui fasa aktif
monsun barat daya.
"Ia adalah sesuatu yang normal untuk melalui cuaca sebegini dalam
tempoh ini," katanya ketika mengulas mengenai cuaca panas dan kering di
negara ini.
Stesen MetMalaysia merekodkan suhu antara 33°C dan 35°C pada siang hari.
Dalam buletin cuacanya pada Mei, MetMalaysia berkata kebanyakan kawasan
di negara ini mencatatkan suhu yang lebih tinggi daripada purata tempoh
jangka panjang untuk bulan tersebut.
Suhu dijangka tidak akan meningkat lebih tinggi daripada yang pernah
direkodkan antara Februari dan Mac iaitu antara 37°C dan 38°C.
Dr Hisham berkata, ini kerana matahari terletak di sebelah utara
Malaysia berbanding berada tegak di atas negara ini antara Februari dan
Mac.
Katanya, ia adalah perkara biasa bagi kebanyakan tempat di negara ini
yang kurang dilanda hujan pada musim ini, kecuali Sabah dan
negeri-negeri utara Semenanjung.
Beliau berkata, kebanyakan negeri dijangka menerima taburan hujan 100mm
hingga 150mm setiap bulan, separuh daripadanya pada Mac hingga Mei.
Namun, bagi negeri-negeri utara Semenanjung dan pantai barat Sabah,
sebaliknya berlaku dengan taburan hujan antara 150mm hingga 250mm, jauh
lebih tinggi daripada 50mm hingga 150mm seperti yang berlaku pada Mac
hingga Mei.
Sabah mempunyai purata lebih rendah sejak empat bulan lalu dengan
taburan hujan kurang daripada 50mm sebulan, walaupun bahagian barat
negeri ini (Gunung Kinabalu) mempunyai hujan normal antara 200mm hingga
300mm setakat bulan ini.
Mengenai fenomena El Nino, yang dijangka menyebabkan suhu permukaan
Lautan Pasifik meningkat, beliau berkata ia tidak memberi kesan pada
masa ini.
Malah, katanya, ia masih diperingkat yang lemah dan sederhana di sekitar Sabah dan bahagian utara Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan