Hadi Awang
KEPALA BATAS - Pas akan meneruskan agenda untuk melaksanakan
undang-undang hudud di Kelantan, demikian ditegaskan Presidennya, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, walaupun ada sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan
undang-undang hudud, Pas tidak akan berganjak malah mengorak langkah
dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta
355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan
di negeri itu.
"Dalam hal ini, Pas mengambil sikap untuk mengajak manusia secara
damai. Pas tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak
berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah...biar dia sahaja yang bersuara
kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak...qabilah
berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.
"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa
sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus
bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak," katanya pada ceramah
perdana kepimpinan Pas Pusat di Markas Tarbiyah Pas negeri, Pongsu
Seribu di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib
Presiden Pas Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan
Tantawi dan barisan kepimpinan Pas negeri Pulau Pinang.
Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa undang-undang hudud bukan untuk
menyeksa penjenayah sebaliknya ia bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.
"Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat
yang ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana
sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.
"Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit,
tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal
penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan
kulit," katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan ahli Pas untuk menjaga setiap
tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab,
akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.
"Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam
menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik
jemaah dan perjuangan yang kita bawa.
"Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah
yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana
seorang yang baik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan
kebaikan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan