HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2015

PAS terus agenda hudud walau dimanipulasi ‘musuh’, kata Hadi




Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap di ibu pejabat PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. Beliau menyedari agenda pihak tertentu menggunakan isu hudud untuk menjatuhkan PAS. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 28 Jun, 2015.Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap di ibu pejabat PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. Beliau menyedari agenda pihak tertentu menggunakan isu hudud untuk menjatuhkan PAS. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain



Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan lari daripada agenda perjuangan parti itu dan mendakwa “musuh” politik mereka menggunakan sudut agama seperti hudud untuk menakut-nakutkan rakyat.


Presiden PAS itu berkata, gambaran diberi seolah-olah hudud akan menjadi agenda pertama parti itu sekiranya ia menang dan membentuk kerajaan persekutuan, tetapi hakikatnya, ia hanya sebahagian undang-undang Islam yang merangkumi pelbagai aspek termasuk undang-undang antarabangsa dan sivil.

"Dalam hudud, ada hukuman potong tangan untuk pencuri dan hukuman untuk penzina. Ini yang mereka pilih.

"... Dipilih oleh media dan banyak pihak lagi untuk membuatkan rakyat takut kepada Islam," katanya pada satu ceramah Ramadan dihadiri ratusan penyokong di ibu pejabat PAS di Pongsu Seribu, Pulau Pinang malam tadi.

Hadi berkata kira-kira 5 tahun lalu, bekas menteri kanan Singapura mendiang Lee Kuan Yew ingin tahu lebih lanjut mengenai PAS, maka kedutaan republik itu di Kuala Lumpur menghubungi setiausaha politiknya bagi mengatur satu pertemuan.

"Saya terkejut Lee Kuan Yew hendak jumpa saya. Sebab itu saya fikir DAP ni kecil sahaja. DAP lahir daripada PAP, parti Lee," katanya disambut ketawa hadirin.

Hadi berkata, Lee tidak lama kemudian datang ke Malaysia dalam satu rangka lawatan kerja dan selepas beliau bertemu dengan kerajaan Barisan Nasional dan bekas Mursyidul Am Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, kedua-dua mereka bertemu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di mana pemimpin Singapura itu, yang diiringi beberapa menteri, bertanya banyak soalan.

Katanya, Lee ingin tahu mengenai agenda Islam PAS dan dasar luarnya sekiranya ia membentuk kerajaan persekutuan.

"Saya kata dasar kami akan mengikut Islam dan keamanan akan terletak di tempat paling atas. Keamanan merupakan keutamaan dalam hubungan antarabangsa.

"Islam mempunyai caranya sendiri menyelesaikan sesuatu isu dan menyatukan rakyat daripada latar belakang berbeza melalui keadilan dan rahmah yang dibawanya," katanya.

Apabila hudud menjadi isu panas, Hadi berkata, beliau dijemput berucap di Universiti Nanyang Singapura mengenai perkara itu.

Katanya, beliau memberitahu ahli akademik yang kebanyakannya bukan Islam di situ, mereka tidak boleh mentafsirkan Islam sebagai agama berdasarkan istilah Barat.

"Islam ialah ajaran Allah yang meliputi penciptaan manusia, hubungan antara manusia, kehidupan di dunia dan akhirat. Ia merangkumi semua.

"Tetapi apabila menyentuh mengenai hudud, yang mereka tahu hanya potong tangan."

Hadi berkata, beliau menjelaskan bagaimana keadilan dalam Islam berfungsi, bagaimana ia menentukan cara hakim membuat keputusan berdasarkan hujah yang dikemukakan.

"Hakim dan saksi mesti adil. Kalau ada keraguan dalam sesuatu hujah, hudud tidak boleh dijalankan.

Malah, saksi pun boleh dikenakan hudud jika didapati dia tidak berlaku adil.

"Hudud bukan hanya tentang hukuman. Ia tentang melindungi mangsa, membuat penjenayah takut undang-undang dan bertaubat," katanya sambil menambah merotan dalam Islam tidak sampai melukakan seperti rotan yang dijalankan sekarang.

Hadi berkata, mereka yang bukan Islam memahaminya dan tidak banyak soalan, tetapi yang membuat bising ialah mereka yang tidak menghadiri ceramah tersebut.

"Hudud bukan dibuat oleh PAS atau Nabi. Ia undang-undang Allah. Mereka mempermainkan undang-undang Tuhan," katanya merujuk kepada mereka yang menulis di media sosial yang katanya tidak belajar tentang Islam tetapi berlagak pandai.

Hadi berkata, pendekatan PAS ialah melibatkan diri dalam dialog dengan semua orang, termasuk DAP - yang ketika ini bertelingkah dengan parti Islam itu kerana isu hudud – PKR dan musuh politik mereka, Umno.

"Tak siapa boleh halang kami mengadakan dialog dengan Umno. Terutamanya dengan orang Islam, lebih-lebih lagi kami hendak berdialog."

Beliau berkata, tumpuannya sekarang ialah untuk meminda Akta Mahkamah Syariah bagi membenarkan bahagian tertentu dalam undang-undang hudud dilaksanakan.

Hanya majoriti mudah diperlukan untuk meminda akta itu, kata Hadi, sambil menambah orang Islam mesti menyokong pindaan itu tanpa mengira fahaman parti mereka.

"Ini ujian untuk orang Islam yang dalam politik, sama ada mereka sedar atau tidak.

"Kami hendak lakukan semua ini dengan aman tetapi malangnya ada orang nak cari gaduh.

"Biarlah anjing dan serigala menyalak kepada kabilah, kami akan tetap memperjuangkan agenda kami hingga mencapai matlamat kami," katanya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keindahan undang-undang Islam hanya boleh dilihat apabila ia dilaksanakan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 28 Jun, 2015.Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keindahan undang-undang Islam hanya boleh dilihat apabila ia dilaksanakan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain,
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sementara itu, turut menyampaikan mesej halus kepada mereka yang menentang hudud dan puak progresif yang tidak berpuas hati dengan parti dan kepimpinan sekarang.

Beliau berkata, keindahan undang-undang Islam hanya boleh dilihat apabila ia dilaksanakan, dan ia akan memberi keyakinan kepada rakyat.

"Tetapi apabila hati sudah busuk, maka busuklah semuanya. Pandangan dan persepsi pun jadi buruk. Benda baik pun dikatakan buruk.

"Contohnya, apabila Hadi bentangkan enakmen hudud di Parlimen. Kalau berjaya, mereka akan kata sebab PAS bekerjasama dengan Umno. Kalau ia gagal, mereka akan kata sebab Umno tipu PAS," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Hadi dan parti itu akan mengatasi segala cabaran yang mereka hadapi, dan mengingatkan ahli parti supaya berwaspada dengan apa yang mereka ucapkan.

"Jaga apa yang kamu katakan. Kamu masih ahli PAS. Ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kita tak boleh cakap sesuka hati kita hingga menjejaskan parti dan nama baiknya.

"Kalau kita dalam jemaah, kita mesti jaga jemaah dan perjuangannya. Kita tidak sepatutnya duduk dalam jemaah tapi berkata yang tidak elok mengenainya.

"Itu bukan sifat yang baik. Orang yang baik hanya akan cakap perkara yang baik," kata Tuan Ibrahim. –

Tiada ulasan: